Perjanjian 29 Oktober 1830

Perjanjian 29 Oktober 1830 atau lebih dikenali sebagai Perjanjian Johor-Belanda 1830 atau Perjanjian Riau-Belanda 1830 merupakan satu perjanjian antara Kesultanan Johor Lama dengan Belanda yang bertujuan untuk menguatkuasakan wilayah pengaruh antara Belanda dengan British di Alam Melayu seperti yang telah termaktub dalam Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 (juga dikenali sebagai Perjanjian London) antara British dengan Belanda yang telah ditandatangani oleh mereka di London, United Kingdom pada 17 Mac 1824.

Pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut ialah Kesultanan Johor Lama yang diwakili oleh Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar dan pihak Belanda yang diwakili oleh Residen Belanda di Riau, Cornelis Pieter Jacob Elout. Walaupun Sultan Johor, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dinamakan sebagai pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut, baginda tidak menghadiri istiadat menandatangani perjanjian tersebut dan baginda diwakili oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar. Istiadat tersebut diadakan di Istana Raja Jaafar yang terletak di Pulau Penyengat, Riau.

Perjanjian tersebut membawa kesan yang sangat besar kepada Kesultanan Johor Lama kerana negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah lalu membawa kepada pengakhiran Kesultanan Johor Lama yang telah wujud selama 300 tahun. Dan dalam perjanjian tersebut, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah mula digelar sebagai "Raja Lingga dan Riau" dan "Yang Dipertuan Besar Riau dan Lingga" lalu secara tidak langsung bermulanya Kesultanan Riau-Lingga dan baginda secara rasmi menjadi Sultan Riau-Lingga pertama.