Letupan kilang mercun Bright Sparklers

Letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers
Keadaan kawasan kilang mercun Bright Sparklers selepas kejadian.
Tarikh7 Mei 1991 (1991-05-07)
Masa3.45 petang (WPM)
TempatKilang mercun Bright Sparklers
LokasiSungai Buloh, Selangor, Malaysia
Koordinat3°12′32.6″N 101°33′46.1″E / 3.209056°N 101.562806°E / 3.209056; 101.562806
Juga dikenali sebagai
Hiroshima Sungai Buloh
JenisBencana mercun
PenyebabLetupan diakibatkan oleh bahan kimia letupan tertumpah semasa percubaan menguji mercun dan bunga api di kantin kilang
Kematian26
Kecederaan103
Harta benda rosak
200 kediaman penduduk musnah akibat kesan letupan di kilang mercun

Letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers berlaku pada 7 Mei 1991, jam 3:45 petang di Sungai Buloh, Selangor, apabila kilang mercun itu terbakar dan menghasilkan letupan besar yang boleh didengari sejauh 7 km dari tempat kejadian, mengorbankan 26 orang dan mencederakan 103 yang lain. Insiden ini juga telah memusnahkan sebanyak 200 kediaman penduduk di sekitar kilang tersebut serta tingkap-tingkap rumah di kawasan Sungai Buloh sehingga bandar Seri Menjalara dan Selayang pecah. Kejadian ini merupakan sebahagian daripada rentetan bencana dalam dekad 1990-an semasa pentadbiran Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat, termasuk runtuhan lombong tinggal di Pantai Remis, tragedi Highland Towers dan banjir lumpur Pos Dipang 1996. Insiden ini lebih dikenali sebagai "Hiroshima Sungai Buloh" oleh media tempatan.

Kesan daripada peristiwa itu, yang mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa, membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan melengkapkan laporan terhadap kes ini. Kerajaan telah mewujudkan undang-undang, peraturan serta garis panduan untuk pekerja, dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 telah diluluskan di Parlimen. Kilang-kilang mercun dan bunga api di seluruh Malaysia terpaksa ditutup buat sementara waktu akibat pengharaman mercun.