Operasi Uranus

Operasi Uranus
Sebahagian daripada Pertempuran Stalingrad
Tarikh19–23 November 1942
Lokasi
Berhampiran Stalingrad (kini Volgograd)
48°42′N 44°31′E / 48.700°N 44.517°E / 48.700; 44.517
Keputusan Kemenangan Soviet
Perubahan
wilayah
Pengepungan Tentera Darat Ke-6 Jerman dan Tentera Darat Ke-4 Panzer
Pihak yang terlibat
 Kesatuan Soviet  Jerman Nazi
Fasis Itali
 Romania
Komandan dan pemimpin
Joseph Stalin
Georgy Zhukov
K. Rokossovsky
Aleksandr Vasilevsky
Nikolai Vatutin
Adolf Hitler
Friedrich Paulus 
Walter Heitz #
Petre Dumitrescu
Italo Gariboldi
Kekuatan
1,143,500 askar (termasuk simpanan)
894 kereta kebal
13,451 laras artileri
1,500 pesawat
Jerman:
400,000 askar (Tentera Darat ke-6 dan Tentera Darat ke-4 Panzer)
jumlah artileri yang tidak diketahui
732 pesawat (402 masih beroperasi)
Itali: jumlah artileri atau pesawat yang tidak diketahui
Romania:
143,296–200,000 askar
827 laras artileri
134 kereta kebal
jumlah pesawat yang tidak diketahui
Kerugian dan korban
Tidak diketahui Tidak diketahui, dipercayai besar

Operasi Uranus (Rusia: Опера́ция «Ура́н», rumi: Operatsiya "Uran") merupakan satu operasi strategik Soviet yang dilancarkan dari 19 hingga 23 November 1942 di Perbatasan Timur semasa Perang Dunia Kedua, yang membawa kepada kepungan tentera Paksi di sekitar Stalingrad: termasuk Tentera Darat Keenam Jerman, Tentera Darat Ketiga dan Keempat Romania, serta sebahagian daripada Tentera Darat Keempat Panzer Jerman. Tentera Merah melancarkan operasi ini kira-kira di pertengahan tempoh Pertempuran Stalingrad yang berlangsung selama lima bulan, dengan tujuan untuk memusnahkan tentera Jerman di dalam dan sekitar bandar tersebut. Perancangan bagi Operasi Uranus telah dimulakan sejak September 1942, dan dibangunkan serentak dengan rancangan untuk mengepung dan memusnahkan Kumpulan Tentera Darat Tengah Jerman (Operasi Marikh) serta tentera Jerman di kawasan Kaukasus.

Disebabkan oleh panjangnya garisan hadapan yang terhasil daripada penyerangan musim panas 1942 Jerman yang bertujuan menawan telaga minyak di Kaukasus dan bandar Stalingrad, tentera Jerman dan sekutu mereka telah bergerak terlalu jauh dan kekurangan kekuatan. Keputusan Jerman untuk memindahkan beberapa divisyen mekanise dari Soviet Union ke Eropah Barat memburukkan lagi keadaan. Selain itu, unit-unit Paksi di kawasan tersebut telah lemah akibat berbulan-bulan bertempur, terutama yang terlibat dalam pertempuran di Stalingrad. Tentera Jerman hanya mampu bergantung kepada Kor Panzer ke-48, yang hanya bersaiz sebuah divisyen panzer, serta Divisyen ke-29 Panzergrenadier sebagai simpanan untuk memperkukuh tentera Romania yang menjaga sayap Tentera Darat Keenam Jerman. Namun, tentera Romania tidak memiliki kelengkapan berat yang mencukupi untuk menghadapi kereta kebal Soviet. Sebaliknya, Tentera Merah telah menggerakkan lebih sejuta anggota bagi serangan tersebut. Pergerakan tentera Soviet juga menghadapi kesulitan: penyamaran penempatan tentera amat sukar, dan unit-unit Soviet sering tiba lewat kerana masalah logistik. Operasi Uranus pada awalnya dijadualkan oleh Markas Tinggi Soviet (Stavka) pada 8 November, tetapi ditangguhkan ke 17 November dan akhirnya ke 19 November.

Pada 19 November, jam 07:20 waktu Moscow, tentera Soviet menyerang sayap utara tentera Paksi di Stalingrad; serangan di sebelah selatan dimulakan pada keesokan harinya. Walaupun unit Romania berjaya menangkis serangan awal Soviet, menjelang 20 November, Tentera Darat Ketiga dan Keempat Romania telah berundur secara besar-besaran, apabila Tentera Merah berjaya memintas beberapa divisyen infantri Jerman. Simpanan mudah alih Jerman terlalu lemah untuk menahan kemaraan pasukan mekanise Soviet, sementara Tentera Darat Keenam Jerman gagal bertindak balas dengan pantas dan tegas untuk mengalih pasukan berperisai mereka dari Stalingrad ke arah ancaman baru. Menjelang lewat 22 November, pasukan Soviet dari utara dan selatan telah bertemu di bandar Kalach, sekaligus mengepung kira-kira 290,000 anggota Paksi di sebelah timur Sungai Don. Namun begitu, bukannya cuba melepaskan diri dari kepungan tersebut, Adolf Hitler membuat keputusan untuk mengekalkan tentera Paksi di Stalingrad dan membekalkan mereka melalui penghantaran udara.