Pertempuran Laut Azov

Pertempuran Laut Azov
Sebahagian daripada Perbatasan Timur Perang Dunia II

Anggota Leibstandarte SS Adolf Hitler memasuki Taganrog, Oktober 1941
Tarikh26 September 1941 – 11 Oktober 1941
(2 minggu dan 1 hari)
Lokasi
Pantai utara Laut Azov
Keputusan

Kemenangan Paksi

  • Pengepungan dan pemusnahan Tentera Darat Ke-9 dan Ke-18 Soviet
  • Kemaraan tentera Jerman ke atas Crimea, Kharkov, dan Rostov
Pihak yang terlibat
 Jerman Nazi
 Romania
 Kesatuan Soviet
Komandan dan pemimpin
Gerd von Rundstedt
Erich von Manstein
Ewald von Kleist
Petre Dumitrescu
Semyon Timoshenko
Dmitry Ryabyshev
Yakov Cherevichenko
Unit terlibat

Kumpulan Tentera Darat Selatan

Barisan Selatan

  • Tentera Darat Ke-9
  • Tentera Darat Ke-18
Kekuatan
Tidak diketahui Tidak diketahui
Kerugian dan korban
2,456 terbunuh
9,699 cedera
266 hilang
Jumlah:
12,421
(21 September–10 Oktober)

106,332 ditawan

212 kereta kebal musnah atau dirampas
772 meriam dirampas

Pertempuran Laut Azov, juga dikenali sebagai Kelompok Chernigovka merupakan satu kempen ketenteraan oleh Kuasa Paksi yang berlangsung antara 26 September hingga 11 Oktober 1941 di pesisir utara Laut Azov, di Perbatasan Timur Perang Dunia Kedua semasa Operasi Barbarossa. Pertempuran ini berakhir dengan kemenangan mutlak pihak Paksi ke atas Tentera Merah Soviet.

Selepas memusnahkan lima ketumbukan Kesatuan Soviet dalam Pertempuran Kiev pada akhir September 1941, Kumpulan Tentera Darat Selatan Jerman mara ke timur dan selatan untuk menawan kawasan perindustrian Donbas dan Crimea. Beberapa hari selepas tamatnya pertempuran di Kiev, Barisan Selatan Soviet melancarkan serangan pada 26 September dengan dua ketumbukan di pesisir utara Laut Azov menentang elemen Tentera Darat Ke-11 Jerman, yang ketika itu turut mara ke Crimea. Setelah pada awalnya berjaya memaksa Tentera Darat Ke-3 Romania (yang berkhidmat di bawah arahan Jerman) berundur, kemaraan Soviet terhenti apabila Briged Leibstandarte SS Adolf Hitler (LSSAH) tiba untuk mengukuhkan sekutu Paksi mereka. Pada 1 Oktober, Kumpulan Panzer Pertama di bawah pimpinan Ewald von Kleist melancarkan serangan ke arah selatan untuk mengepung dua ketumbukan Soviet tersebut. Serangan ini berjaya mengejutkan sepenuhnya pihak Tentera Merah, yang terpaksa berundur pada 3 Oktober bagi mengelakkan gerakan pengepungan.

Pasukan Jerman kemudiannya menyerang dari arah barat, utara dan timur, sekali gus memutuskan laluan keluar pasukan Soviet pada 7 Oktober selepas menawan Melitopol dan Berdiansk. Tentera Darat Ke-9 dan Tentera Darat Ke-18 Soviet berjaya dipencil dan dimusnahkan dalam tempoh empat hari. Kekalahan Soviet adalah menyeluruh: seramai 106,332 orang telah ditawan, 212 buah kereta kebal dimusnahkan atau dirampas di kelompok kepungan sahaja, serta 766 laras meriam pelbagai jenis turut dimusnahkan atau dirampas. Semua unit Tentera Darat Ke-11 dan Kumpulan Panzer Pertama Jerman hanya kehilangan 12,421 orang sepanjang tempoh 21 September hingga 10 Oktober; jumlah korban sebenar Jerman dalam pertempuran ini lebih rendah kerana hanya sebahagian daripada kedua-dua ketumbukan tersebut yang terlibat secara langsung.

Kematian atau penawanan dua pertiga daripada keseluruhan tentera Barisan Selatan dalam masa empat hari menyebabkan sayap kiri barisan ini runtuh, membolehkan tentera Jerman menawan Kharkov pada 24 Oktober. Tentera Darat Pertama Panzer pimpinan Kleist menawan kawasan Donbas dalam bulan yang sama, manakala Tentera Darat Ke-11 pimpinan Von Manstein dilancarkan untuk menakluk Crimea dengan kekuatan penuh mulai 18 Oktober.