Pertempuran Rzhev, musim panas 1942

Pertempuran Rzhev
Sebahagian daripada Pertempuran Rzhev di Perbatasan Timur Perang Dunia II

Artileri Tentera Merah sedang dipindahkan melalui kawasan berlumpur, Oktober 1942
Tarikh30 Julai – 1 Oktober 1942
Lokasi
Oblast Tver, SFSR Rusia, Soviet Union
Keputusan Kemenangan Jerman
Pihak yang terlibat
 Jerman Nazi  Kesatuan Soviet
Komandan dan pemimpin
Adolf Hitler
Günther von Kluge
Walter Model
Heinrich von Vietinghoff
Joseph Stalin
Georgy Zhukov
Ivan Konev
Kekuatan
Setakat 10 Ogos 1942:
Anggota: 352,867 keseluruhan (Kekuatan Catuan)
Kereta kebal (pada mulanya): 321
Setakat 30 Julai 1942:
Anggota: 486,000
Kereta kebal: 1,715
Pesawat: 1,100
Setakat 5 September 1942:
Anggota: 334,808
Kereta kebal: 412
Meriam: 2,947
Kerugian dan korban
70,000 +(see §7) 300,000 +(see §7)

Pertempuran Rzhev pada musim panas 1942 merupakan sebahagian daripada siri pertempuran yang berlangsung selama 15 bulan di tengah-tengah Perbatasan Timur. Dalam sejarah Kesatuan Soviet semasa Perang Dunia Kedua, ia dikenali sebagai Operasi ofensif Rzhev–Sychyovka pertama, yang ditakrifkan berlangsung dari 30 Julai hingga 23 Ogos 1942. Walau bagaimanapun, telah banyak didokumenkan bahawa pertempuran berterusan tanpa henti hingga ke bulan September dan hanya tamat sepenuhnya pada awal Oktober 1942. Tentera Merah mengalami korban yang besar tanpa mendapat banyak keuntungan sepanjang pertempuran ini, menjadikan pertempuran ini terkenal dengan gelarannya: "Pengisar Daging Rzhev".

Rzhev terletak kira-kira 140 batu (230 kilometer) di barat Moscow dan telah ditawan oleh Wehrmacht Jerman semasa Operasi Typhoon pada musim luruh tahun 1941, yang membawa mereka hingga ke pintu gerbang Moscow. Apabila penyerangan balas Soviet memaksa mereka berundur, Rzhev menjadi benteng pertahanan utama Jerman. Menjelang pertengahan 1942, bandar itu terletak di hujung kawasan sesusuh yang menonjol keluar dari garisan hadapan, menghala ke arah Moscow. Pada bulan Julai dan Ogos 1942, Stalin mengarahkan dua panglima barisan-nya, Jeneral Georgy Zhukov (memimpin Barisan Barat) dan Jeneral Ivan Konev (memimpin Barisan Kalinin), untuk melancarkan satu penyerangan bagi menawan semula Rzhev dan memberikan tamparan hebat kepada Kumpulan Tentera Darat Tengah untuk menolak mereka menjauhi Moscow. Serangan ini akan menyasarkan musuh utama mereka semasa pertempuran musim sejuk, Tentera Darat Ke-9 pimpinan Jeneral Walter Model, yang menguasai sebahagian besar kawasan sesusuh Rzhev.

Kerugian besar dan sedikit pencapaian yang diperoleh sepanjang dua bulan pertempuran itu telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada para perajurit Soviet yang terlibat. Pada bulan Oktober, keseimbangan strategik di tengah-tengah Perbatasan Timur kekal hampir tidak berubah. Namun begitu, tentera Jerman turut mengalami kerugian besar, dan walaupun pertahanannya berjaya dari segi taktikal, mereka tidak mencapai apa-apa selain mengekalkan status quo. Dan walaupun penyerangan tersebut gagal, Zhukov diberi peluang kedua untuk memusnahkan kawasan sesusuh Rzhev tidak lama kemudian.