Sejarah Malaysia
Sebahagian daripada siri tentang |
|---|
| Sejarah Malaysia |
| Portal Malaysia |
Dalam konteks sejarah Malaysia (سجاره مليسيا), walaupun nama "Malaysia" merupakan sebuah konsep moden yang baru diciptakan pada separuh kedua abad ke-20, Malaysia kontemporari tetap menganggap keseluruhan sejarah Tanah Melayu dan Borneo, merangkumi ribuan tahun yang lalu termasuk zaman prasejarah, sebagai sejarahnya tersendiri.
Catatan awal Barat mengenai negara ini bermula sejak orang-orang Yunani seperti Cladius Ptolemy menamakan semenanjung yang terdapat di negara ini sebagai Semenanjung Emas (kini digelar Semenanjung Malaysia) atau "Golden Khorsenese" di dalam buku Geographia yang ditulisnya pada sekitar 150 M. Agama Hindu dan Buddha dari India dan China masing-masing mendominasi sejarah awal negara ini dan mencapai kemuncaknya semasa pemerintahan kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera, Indonesia, yang mempunyai pengaruh yang meluas di seluruh Sumatera sendiri, Jawa, Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian besar Borneo dari abad ke-7 hingga ke-17.
Walaupun kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu telah berlaku seawal abad ke-10, agama tersebut mula mengukuhkan kedudukannya di Tanah Melayu pada abad ke-14. Penerapan Islam pada abad ke-14 telah menyaksikan kebangkitan kesultanan-kesultanan, yang paling menonjol ialah Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Brunei. Islam sememangnya mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap orang Melayu.
Pada tahun 1511, Melaka telah berjaya ditawan oleh Portugis yang merupakan kuasa penjajah Eropah pertama yang mengukuhkan kedudukan mereka di Semenanjung Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kemudian, Melaka ditawan oleh Belanda pada tahun 1641 dengan bantuan Kesultanan Johor. Akhirnya, British yang asalnya menubuhkan pangkalannya di Jesselton, Kuching, Pulau Pinang dan Singapura, memperoleh hegemoni mereka di seluruh wilayah Tanah Melayu melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Perjanjian tersebut menetapkan sempadan antara Tanah Melayu British dan Hindia Timur Belanda (yang menjadi Indonesia). Kemudian, Perjanjian Inggeris-Siam 1909 pula menetapkan sempadan antara Tanah Melayu British dan Siam (yang menjadi Thailand). Fasa keempat pengaruh asing ialah kemasukan buruh-buruh dari negara China dan India untuk memenuhi keperluan ekonomi kolonial yang dicipta oleh British di Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo.
Pencerobohan Jepun ketika Perang Dunia Kedua mengakhiri penguasaan British di Tanah Melayu setelah pentadbiran British di Singapura menyerah kalah secara rasmi terhadap Jepun. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak dari tahun 1942 hingga 1945 memekarkan lagi semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk tempatan. Setelah Jepun berundur dari Tanah Melayu selepas dikalahkan oleh pihak Pihak Berikat, Malayan Union ditubuhkan pada tahun 1946 oleh pentadbiran British. Ekoran daripada penentangan oleh orang Melayu, yang diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), penubuhan itu disusun semula sebagai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 sebagai sebuah protektorat hingga tahun 1957. Di Semenanjung Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya melancarkan pemberontakan bersenjata untuk menentang British dan ketegangan ini menyebabkan pengisytiharan darurat selama 12 tahun dari 1948 hingga 1960. Tindak balas ketenteraan yang serius terhadap pemberontakan komunis sepanjang tempoh darurat serta Rundingan Baling pada tahun 1955 membawa kepada kemerdekaan di Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 yang dicapai secara diplomatik melalui rundingan dengan British. Tunku Abdul Rahman menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama ketika itu. Pada tahun 1960, darurat ditamatkan setelah ancaman tentera gerila komunis semakin berkurangan dan pengunduran mereka ke sempadan di antara Tanah Melayu dengan Thailand.
Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia ditubuhkan berikutan penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Bagaimanapun, pada bulan Ogos 1965, Singapura telah disingkirkan daripada persekutuan dan menjadi sebuah negara merdeka yang berasingan. Konfrontasi dengan Indonesia turut berlaku pada awal 1960-an berikutan pembetukan Malaysia. Rusuhan kaum pada tahun 1969 iaitu Peristiwa 13 Mei membawa kepada pelaksanaan darurat, penggantungan parlimen, penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) serta pembentukan Rukun Negara oleh MAGERAN pada tahun 1970 yang menjadi ideologi kebangsaan bagi mendorong perpaduan dalam kalangan rakyat. Dasar Ekonomi Baru juga telah diperkenalkan pada tahun 1971 yang digunakan hingga tahun 1990 bagi membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Ketika pemerintahan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi dan pembandaran yang pesat bermula pada 1980-an. Dasar Pembangunan Nasional (NDP), yang menggantikan dasar ekonomi sebelumnya, dilaksanakan dari tahun 1991 hingga 2000. Krisis kewangan Asia pada lewat 1990-an hampir menyebabkan pasaran mata wang, saham, dan hartanah negara hampir jatuh, tetapi kemudiannya pulih. Skandal 1MDB mendapat perhatian pada tahun 2015 sebagai skandal rasuah global yang besar, melibatkan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak. Skandal ini mempengaruhi pilihan raya umum 2018, menyebabkan perubahan parti yang memerintah untuk kali pertama sejak kemerdekaan negara ini. Pada awal tahun 2020, Malaysia mengalami kemelut politik yang mengakibatkan kejatuhan pentadbiran PH dan pembentukan gabungan Perikatan Nasional (PN). Pada tempoh yang sama, Malaysia turut dibelenggu pandemik COVID-19 yang membawa kesan kesihatan, ekonomi, sosial dan politik yang serius kepada negara tersebut. Pilihan raya umum Malaysia 2022 menyebabkan situasi parlimen tergantung yang pertama dalam sejarah negara dan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri Malaysia pada 24 November 2022 untuk memerintah kerajaan campuran.