Hinduisme

Hinduisme ialah satu agama atau falsafah yang berasal dari benua India dan kawasan sekeliling yang berhampiran. Agama ini adalah agama tertua yang diketahui di dunia. Kitab utama agama ini ialah Veda yang dibahagikan kepada empat kitab utama iaitu Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda.

Dalam zaman silam, Hinduisme dikenali sebagai Arya Dharma dan orang-orang yang menganuti agama ini dikenali sebagai Aryan. Pendudukan asal mereka ialah di wilayah Punjab. Tidak ada suatu pendapat yang muktamad tentang asal-usul orang Aryan. Golongan cendikiawan dan sejarahwan masih mempertikaikan dan mengemukakan teori-teori yang bercanggah. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa orang Aryan berasal dari kawasan Artik, sesetengah mengatakan Asia Tengah, dan segelintir mengatakan Mediterranean dan sebagainya. Swami Vivekananda sebaliknya menegaskan bahawa orang Aryan berasal dari benua India dan bukannya satu bangsa pendatang dari luar India. Walau bagaimanapun, dari Punjab, orang Aryan tersebar ke seluruh India Utara, sehingga kawasan yang mereka menduduki dikenali sebagai Aryavarta (IAST: Āryāvarta). Mereka kemudiannya, merentasi banjaran Vindhya dan bersebar ke seluruh India Selatan. Agastya dianggap sebagai orang yang telah membawa bangsa Aryan ke Selatan.

Istilah Hinduisme merangkumi pelbagai aliran fikiran dan falsafah, serta upacara-upacara amal yang amat berbeza. Sebahagian besar penganut Hindu bersembahyang kepada pelbagai dewa-dewi, dan menganggap dewa-dewi ini sebagai penjelmaan-penjelmaan untuk satu Roh Agung atau Brahman, sedangkan ramai penganut lain menumpukan kepada satu konsep mufrad untuk Brahman (Tuhan), umpamanya Vaishnavisme, Saivisme dan Saktam.

Hinduisme ialah agama yang ketiga terbesar di dunia, dengan lebih kurang 1.2 juta penganut (angka 2020). Rantau Asia-Pasifik menempatkan 99% daripada keseluruhan penganut agama Hindu di dunia, dengan kira-kira 95% daripadanya tinggal di India iaitu kira-kira 1.1 juta orang. Agama Hindu merupakan agama utama di benua India meskipun India dianggap sebagai sebuah negara sekular. Selain India, Nepal dan Mauritius mempunyai kelompok agama Hindu yang terbesar. Di luar rantau Asia-Pasifik, Amerika Syarikat mempunyai bilangan penganut Hindu terbesar iaitu seramai 3.0 juta orang, diikuti oleh United Kingdom dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), masing-masing dengan 1.1 juta orang.

Agama Hindu menjadi agama rasmi negara Nepal. Dengan peredaran masa, dua cabang utama tumbuh daripada agama Hindu, iaitu agama Buddha dan agama Jain. Pengaruh agama Hindu dan agama Buddha telah tersebar ke seluruh benua Asia, terutamanya Sri Lanka, Myanmar, Tibet, China, Kemboja, Jepun, Korea dan lain-lain negara Asia lain seperti Malaysia dan kepulauan Indonesia. Malah, pengaruh kebudayaan dan tamadun India juga telah dikenalpasti di Mexico. Apa yang menarik tentang perkembangan agama Hindu ialah agama ini tidak pernah disebarkan dengan penaklukan, penjajahan, peperangan atau sebarang bentuk keganasan. Keamanan, kasih sayang, simpati, kemanusiaan, dan kebajikan merupakan daya tarikan agama Hindu. Ke mana sahaja orang Hindu pergi, mereka telah memperkayakan dan meningkatkan kebudayaan dan tamadun tempatan secara semulajadi tanpa sebarang paksaan. Maka, tidak ada keraguan bahawa India dan agama Hindu merupakan ibu ketamadunan di Timur. Malah, kini telah terbukti bahawa idea-idea Hindu juga telah mempengaruhi Yunani purba, pusat kelahiran tamadun Barat.