Barisan Kalinin
Barisan Kalinin merupakan sebuah formasi utama Tentera Merah yang aktif di Perbatasan Timur semasa Perang Dunia Kedua, dinamakan sempena bandar Kalinin. Ia secara rasmi ditubuhkan melalui arahan Stavka pada 17 Oktober 1941 dan diperuntukkan tiga ketumbukan: Tentera Darat Ke-22, Tentera Darat Ke-29 dan Tentera Darat Ke-30.Pada Mei 1942, Tentera Udara Barisan Kalinin telah disusun semula sebagai Ketumbukan Udara Ke-3, yang terdiri daripada tiga divisyen pesawat pejuang, dua divisyen pesawat serangan darat dan satu divisyen pesawat pengebom.
Pada November 1942, Barisan Kalinin bersama-sama Barisan Barat telah melancarkan Operasi Marikh terhadap pertahanan Jerman di kawasan sesusuh Rzhev/Vyazma. Tentera Darat Gempur Ke-3, yang kini diserapkan ke Barisan Kalinin, memulakan operasi pada 24 November dengan menyerang Tentera Darat Ke-3 Panzer di Velikiye Luki, dan keesokannya Barisan Kalinin dan Barisan Barat menyerang seluruh perimeter kawasan sesusuh Rzhev. Penyerangan ini melibatkan Tentera Darat Ke-41, Ke-22, Ke-39, Ke-31, Ke-20 dan Ke-29 dari kedua-dua Barisan. Barisan ini kemudian turut serta dalam Pertempuran Velikiye Luki dari Januari hingga Mac 1943. Ketumbukan Udara Ke-3 memberikan sokongan kepada kedua-dua operasi Rzhev/Sychevka dan Velikiye Luki, namun kemudian dipindahkan sementara ke Barisan Barat Laut untuk melindungi pangkalan terdepan Demyansk.
Semasa operasi Nevel-Haradok, dari 6 Oktober hingga 31 Disember 1943, Barisan ini (yang menukar nama di pertengahan operasi) terdiri daripada Tentera Darat Gempur Ke-3 dan Ke-4, Tentera Darat Pengawal Ke-11 dan Tentera Darat Ke-43, serta Ketumbukan Udara Ke-3. Kekuatan awalnya ialah 198,000 anggota. Jumlah kerugian adalah sebanyak 43,551 terbunuh dan hilang serta 125,351 cedera dan sakit.
Barisan ini telah dinamakan semula sebagai Barisan Pertama Baltik pada Oktober 1943.