Sejarah Pulau Pinang

Negeri Pulau Pinang, salah satu negeri yang paling maju dan membangun di Malaysia, terletak di pantai barat laut negara ini sepanjang Selat Melaka. Berbanding dengan negeri-negeri Malaysia yang lain, sejarah Pulau Pinang moden banyak dipengaruhi oleh zaman penjajahan Tanah Melayu British, yang bermula dengan permohonan menduduki dan menjalankan perdagangan di Pulau Pinang oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris daripada Kesultanan Kedah pada tahun 1786.

Pulau ini kemudiannya dibangunkan sebagai pelabuhan bebas dan ditadbir sebagai sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat, bersama-sama dengan Singapura dan Melaka; ibu negerinya, George Town, pernah menjadi ibu kota pentadbiran Negeri-Negeri Selat dari tahun 1826 hingga 1832. Menjelang akhir abad ke-19, George Town berkembang pesat dan menjadi salah satu entrepot utama di Asia Tenggara.

Semasa Perang Dunia Kedua, Pulau Pinang ditawan dan diduduki oleh Empayar Jepun dari tahun 1941 hingga 1945. Pada penghujung perang, Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Semenanjung Tanah Melayu yang dibebaskan oleh British melalui Operasi Jurist. Negeri-Negeri Selat dibubarkan pada tahun berikutnya dan Pulau Pinang diserap ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun wujud gerakan pemisahan dalam kalangan penduduk di Pulau Pinang, penggabungan dengan Tanah Melayu tetap diteruskan dan persekutuan tersebut mencapai kemerdekaan daripada Empayar British pada tahun 1957. Tanah Melayu kemudiannya berkembang menjadi Malaysia pada tahun 1963.

Berikutan pembatalan status pelabuhan bebas George Town pada tahun 1960-an, negeri ini mengalami kemerosotan ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi. Kerajaan negeri pada waktu itu mengambil langkah untuk mengubah haluan ekonomi negeri ke arah sektor pembuatan berteknologi tinggi, yang akhirnya berjaya memulihkan ekonomi Pulau Pinang dan memberikannya gelaran "Lembah Silikon Timur". Pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap George Town sebagai destinasi pelancongan yang rancak, terutamanya selepas bandar tersebut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008, turut merangsang sektor perkhidmatan negeri. Pada masa kini, kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan menjadi tonggak ekonomi utama Pulau Pinang. Selain itu, negeri ini mencatat kadar pengangguran dan pekali Gini antara yang terendah di Malaysia, serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kedua tertinggi selepas Kuala Lumpur.