Ketuanan Melayu

Ketuanan Melayu (Jawi: كتوانن ملايو) merupakan ideologi politik yang menekankan kepimpinan dan peranan orang Melayu dalam pentadbiran negara dan sebagai pemacu budaya teras bagi Persekutuan Tanah Melayu. Kaum Cina dan India yang dibawa masuk oleh penjajah British sebagai buruh kasar dari tanah jajahan mereka yang lain juga kemudian diterima sebagai warganegara melalui perjanjian bersyarat dimana mereka, iaitu Cina dan India, telah bersetuju untuk mengiktiraf dan terus menghormati kedudukan istimewa orang Melayu sebagai timbal balik dalam perjanjian kewarganegaraan ini. Persetujuan ini termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (hari ini dikenali sebagai Malaysia). Namun begitu, perkara ini juga telah mengundang kritikan yang mengatakan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara dan dunia islam yang masih mengamalkan konsep mirip aparteid selepas era dekolonisasi.

Pengukuhan identiti dan budaya Melayu-Islam menjadi teras kepada ideologi Ketuanan Melayu, Perkara 11(4) di dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengawal dan melarang sebarang penyebaran agama lain kepada kalangan orang Islam di Malaysia. Perlembagaan juga memperincikan bahawa seorang itu hanya boleh didefinisikan sebagai Melayu jika mereka menganuti agama Islam (Perkara 160). Sekatan penyebaran agama lain ini dikuatkuasakan melalui undang-undang seperti Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988, dimana sebarang usaha dari bukan Islam untuk menyebarkan agama mereka kepada orang Islam adalah dianggap jenayah, dan boleh dihukum dengan denda, penjara atau kedua-duanya sekali. Fasal perlembagaan ini mengabdikan penyatuan antara budaya Melayu dan agama Islam sebagai teras yang memacu negara Malaysia. Namun, perkara ini mendapat tentangan dan kritikan kerana dianggap mengehadkan kebebasan beragama dalam masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

Semasa tahun 60-an, terdapat tentangan besar untuk mencabar ketuanan Melayu, diketuai oleh pengasas PAP, Lee Kuan Yew dari negeri Singapura, yang pada ketika itu merupakan sebahagian daripada Malaysia sehingga mereka disingkirkan pada 1965. Penentangan ini telah membangkitkan suasana permusuhan antara kaum terutamanya di antara Melayu dan Cina yang kemudiannya mencapai kemuncak dan mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969.

Rusuhan kaum ini telah mencetus kepada perubahan besar dalam pendekatan kerajaan terhadap isu ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum. Kaum Melayu yang jauh ketinggalan dari sudut ekonomi oleh kerana pencaturan penjajah British yang menempatkan mereka di kawasan luar bandar, jauh dari pusat kegiatan ekonomi, manakala kaum Cina banyak mendapat tempat di bandar dan menerima bantuan daripada penjajah British untuk memudahkan urusan penjajah membawa pulang kekayaan tanah air ini. Walaupun sudah merdeka, impak daripada pencaturan ini adalah jurang sosio ekonomi antara Melayu dan Cina menjadi terlalu besar dan sering mencetuskan ketegangan dan perbalahan di antara kelas ekonomi, di mana majoriti kaum Cina adalah tergolong dari kelas sederhana dan kaya manakala majoriti dari kaum Melayu pula terdiri dari kelas sederhana dan miskin.

Ini membawa kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, iaitu dasar tindakan afirmatif untuk mengangkat kedudukan ekonomi kaum Melayu bagi meredakan perbalahan ini.Dasar Kebudayaan Kebangsaan juga diperkenalkan pada tahun 1970 sebagai satu usaha untuk merangkumkan semua kaum dan budaya di Malaysia ke arah satu budaya nasional demi memupuk perpaduan, namun ia mendapat tentangan hebat daripada kaum Cina.

Pada tahun 1990-an, Perdana Menteri Malaysia ke-4, Dr Mahathir mengetengahkan slogan Bangsa Malaysia dan konsep Sekolah Wawasan untuk menyemai kesefahaman antara kaum dari usia kecil melalui integrasi Sekolah Kebangsaan bersama sekolah vernakular Cina dan Tamil dalam satu kompleks yang sama, namun ia sekali lagi mendapat tentangan hebat terutamanya dari kaum Cina.