Semenanjung Malaysia

Malaysia Barat dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu 1957-1963 / Kesatuan Tanah Melayu 1946-1948 / Tanah Melayu British ialah sebahagian Malaysia yang meliputi lebih separuh bahagian selatan Semenanjung Melayu, dan merupakan gabungan 11 buah negeri (ketika itu) yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

Malaysia Semenanjung kini, terdiri daripada 11 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan. Negeri-negeri dan wilayah tersebut ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Malaysia Semenanjung yang merupakan bahagian selatan Semenanjung Melayu meliputi 55% keluasan Semenanjung Melayu. Kawasan utara Semenanjung Melayu yang merangkumi 45% semenanjung tersebut terletak dalam bahagian negara Myanmar dan Thailand.

Penduduk pribumi di Malaysia Semenanjung dan Semenanjung Melayu adalah Melayu dan juga Orang Asli. Keluasan keseluruhan Malaysia Semenanjung adalah 131,598 kilometer persegi. Malaysia Semenanjung berkongsi sempadan darat dengan Thailand di bahagian utara dan sempadan maritim dengan Singapura di bahagian selatan, oleh Selat Johor. Malaysia Semenanjung juga mempunyai sempadan maritim dengan Indonesia di Selat Melaka dan Laut Melayu, iaitu dengan Sumatera dan Kepulauan Riau, dan juga dengan Vietnam di Laut Melayu. Manakala Malaysia Timur (Sabah, Labuan dan Sarawak) terletak di seberang timur Malaysia Barat merentasi Laut Melayu. Hampir kesemua negeri di Malaysia Semenanjung diketuai oleh sultan atau raja kecuali Melaka dan Pulau Pinang. Sembilan negeri yang diketuai oleh raja terdiri dari Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Gelaran Sultan digunakan di negeri-negeri Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, manakala Perlis pula menggelarkan baginda pemerintah mereka sebagai Raja, dan di Negeri Sembilan, baginda digelar Yamtuan Besar atau secara rasminya Yang di-Pertuan Besar.