Sabah

Sabah
Wilayah Sabah
Transkripsi Lain-lain
 • Jawiسابه
 • Cina沙巴
Nama panggilan: 'Negeri Di Bawah Bayu'
Cogan kata: Sabah Maju Jaya
Lagu: Sabah Tanah Airku
   Wilayah Sabah di    Malaysia
Koordinat: 5°15′N 117°0′E / 5.250°N 117.000°E / 5.250; 117.000
--
Kesultanan Sulu1704
British Borneo Utara1882
Pendudukan Jepun1942
Jajahan Mahkota British15 Julai 1946
Memperoleh pemerintahan sendiri31 Ogos 1963
Bergabung membentuk Malaysia 16 September 1963
Ibu negeri
(dan bandar terbesar)
Kota Kinabalu
Bahagian
Pentadbiran
 • JenisDemokrasi berparlimen
 • BadanDewan Undangan Negeri Sabah
 • Yang di-Pertua NegeriMusa Aman
 • Ketua MenteriHajiji Noor
(GAGASAN-GRS)
Keluasan
 • Jumlah73,904 km2 (28,534 batu persegi)
Aras tertinggi4,095 m (13,435 ft)
Penduduk
 (2025)
 • Jumlah 3,418,785 (ke−3)
 • Kepadatan50.25/km2 (130.1/batu persegi)
DemonimOrang Sabah, Sabahan (rasmi)
Demografi (2025)
 • Kumpulan etnik
 • BahasaMelayu, Inggeris (rasmi)
Indeks Wilayah
 • IPM (2022)0.772 (tinggi) (ke-13)
 • Kadar kesuburan (2017)1.4
 • KDNK (2023)RM111.90 bilion
 • KDNK perkapitaRM31,147
Zon waktuUTC+8 (WPM)
Poskod
88xxx sehingga 91xxx
Kod kawasan087 (Bahagian Pedalaman)
088 (Kota Kinabalu dan Kudat)
089 (Lahad Datu, Sandakan dan Tawau)
Kod ISO 3166H (MY-12, 47–49)
Pendaftaran kenderaanSA, SAB, SAC, SY (Pantai Barat)
SB (Beaufort)
SD (Lahad Datu)
SK (Kudat)
SS, SSA, SM (Sandakan)
ST, STA, SW (Tawau)
SU (Keningau)
Bahagian memanduKiri
Voltan elektrik230 V, 50 Hz
Laman sesawangTapak sesawang rasmi

Sabah (Jawi:سابه) ialah salah satu wilayah di Malaysia yang terletak di utara pulau Borneo, di kawasan Malaysia Timur. Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia, bersempadan dengan wilayah Sarawak di barat daya dan provinsi Kalimantan Utara, Indonesia di selatan. Wilayah Persekutuan Labuan pula ialah sebuah pulau yang terletak tidak jauh dari pantai barat Sabah. Sabah juga berkongsi sempadan maritim dengan Vietnam di barat laut dan Filipina di utara dan timur. Kota Kinabalu merupakan ibu negeri dan pusat kegiatan ekonomi negeri ini, juga menjadi pusat pentadbiran bagi kerajaan negeri Sabah. Antara bandar utama lain di Sabah termasuklah Sandakan dan Tawau. Setakat tahun 2020, Sabah mempunyai jumlah penduduk seramai 3,418,785 orang, ketiga tertinggi di Malaysia. Sabah mempunyai iklim khatulistiwa dengan hutan hujan tropika yang kaya dengan berbagai spesies haiwan dan tumbuhan. Ia mempunyai banjaran gunung yang terbentang panjang di sebelah baratnya yang membentuk sebahagian daripada Taman Negara Banjaran Crocker dan menempatkan gunung tertinggi di Malaysia, iaitu Gunung Kinabalu. Sungai Kinabatangan, sungai kedua terpanjang di Malaysia juga menyelusuri Sabah.

Penempatan manusia terawal di Sabah boleh dijejak sejak 20 ribu-30 ribu tahun dahulu di sepanjang kawasan Teluk Darvel di gua-gua Madai-Baturong. Negeri ini telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan China bermula sejak abad ke-14. Sabah mula berada di bawah pengaruh Empayar Brunei sekitar abad ke-14 dan ke-15. Bahagian barat negeri ini juga berada di bawah pengaruh Kesultanan Sulu bermula pada abad ke-18. Negeri ini kemudiannya diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada abad ke-19. Sewaktu Perang Dunia Kedua, Sabah telah diduduki oleh Jepun selama tiga tahun. Ia kemudiannya menjadi sebuah Jajahan Mahkota British pada 1946. Pada 31 Ogos 1963, Sabah telah diberikan hak pemerintahan sendiri oleh British. Berikutan itu, Sabah menjadi salah satu ahli pengasas Persekutuan Malaysia yang dibentuk pada 16 September 1963 bersama-sama dengan Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura (dikeluarkan pada 1965). Persekutuan itu telah menerima tentangan daripada Indonesia yang membawa kepada Konfrontasi Indonesia–Malaysia selama tiga tahun dan ancaman pengilhakan oleh Filipina bersama-sama dengan Kesultanan Sulu yang berterusan sehingga kini.

Sabah terkenal dengan kepelbagaian dalam etnik, bahasa dan budaya penduduknya. Ketua negeri Sabah ialah Yang di-Pertua Negeri manakala ketua kerajaan negeri ialah Ketua Menteri. Sistem kerajaannya dimodelkan secara rapat dengan sistem parlimen Westminster dan mempunyai salah satu sistem perundangan negeri terawal di Malaysia. Sabah dibahagikan kepada lima bahagian pentadbiran dan 30 daerah. Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negeri, dan Islam pula merupakan agama rasmi negeri, namun agama lain boleh diamalkan. Sabah mempunyai sumber alam yang banyak, dan ekonominya sangat berorientasikan eksport. Bahan eksport utamanya termasuklah minyak, gas, kayu balak dan minyak sawit. Antara industri utama lain termasuklah pertanian dan ekopelancongan.