Kuala Lumpur

Kuala Lumpur
Kolumpo
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Transkripsi lain
 • Tulisan Jawiكوالا لمڤور
 • Cina吉隆坡
Jílóngpō (Hanyu Pinyin)
Gātlùhngbō (Perumian Kantonis Yale)
Gat1 lung4 bo1 (Jyutping)
 • Tamilகோலாலம்பூர்
Kōlālampūr (Transliterasi)
Cogan kata: Bersedia Menyumbang Bandaraya Cemerlang
Lagu: Maju dan Sejahtera
   Kuala Lumpur di    Malaysia
Koordinat: 03°08′52″N 101°41′43″E / 3.14778°N 101.69528°E / 3.14778; 101.69528
NegaraMalaysia
Ditubuhkan1857
Dikurniakan status bandaraya1972
Dijadikan Wilayah Persekutuan1974
Pentadbiran
 • JenisPemerintahan persekutuan
dengan kerajaan tempatan
 • BadanDewan Bandaraya Kuala Lumpur
 • Datuk BandarMaimunah Mohd Sharif
Keluasan
 • Ibu negara dan Wilayah Persekutuan243 km2 (94 batu persegi)
 • Metro
2,243.27 km2 (866.13 batu persegi)
Aras
21.95 m (72 ft)
Aras tertinggi
(Bukit Dinding)
302 m (991 ft)
Penduduk
 (2024)
 • Ibu negara dan Wilayah Persekutuan2,075,600
 • Kepadatan8,500/km2 (22,000/batu persegi)
 • Bandar
8,403,775
 • Metro
8,815,630
 • Kepadatan metro2,708/km2 (7,010/batu persegi)
KDNK (2023)
 • Wilayah PersekutuanRM 277.519 billion (US$60 billion)
 • MetroRM 727.790 billion (US$160 billion)
Indeks bandar
 • IPM (2023)0.890 (sangat tinggi) (Pertama)
Zon waktuUTC+8 (WPM)
 • Musim panas (DST)UTC+8 (Tiada)
Poskod
50xxx hingga 60xxx
68xxx
Waktu suria minUTC+06:46:48
Kod panggilan kebangsaan03
Awalan nombor plat kenderaanVxx dan Wxx (semua kenderaan kecuali teksi)
HWx (teksi sahaja)
ISO 3166-2MY-14
Bahasa rasmiMelayu
Laman sesawangwww.dbkl.gov.my

Kuala Lumpur (sebutan dalam loghat tempatan: Kolumpo, Jawi: كوالا لمڤور, singkatan: KL) atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ialah ibu negara dan bandar raya terbesar di Malaysia. Kuala Lumpur meliputi kawasan seluas 244 km2 (94 bt2), diduduki 2.16 juta orang mengikut banci tahun 2022. Lebih kurang 50 peratus penduduknya ialah Bumiputera, manakala 45 peratus ialah Cina dan 5 peratus ialah India. Kuala Lumpur tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri Selangor, iaitu Lembah Klang, sebuah kelompok bandar yang diduduki 8.9 juta orang, dan juga kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di Asia Tenggara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi. Lembah Klang juga adalah sebahagian daripada rantau metropolitan yang lebih besar yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Raya.

Kuala Lumpur menempatkan Parlimen Malaysia, dan juga pernah menjadi lokasi cabang eksekutif dan kehakiman kerajaan persekutuan yang kini bertapak di Putrajaya sejak tahun 1999. Namun begitu, terdapat beberapa cawangan kehakiman yang kekal di ibu kota ini. Kuala Lumpur juga menempatkan kediaman rasmi bagi Ketua Negara Malaysia, Yang di-Pertuan Agong iaitu Istana Negara. Bandar raya ini juga merupakan pusat kebudayaan, pelancongan, pendidikan, perundangan dan ekonomi Malaysia kerana kedudukannya selaku ibu negara dan bandar raya primat. Kuala Lumpur ditarafkan sebagai bandar raya dunia alfa, dan juga satu-satunya bandar raya global di Malaysia, menurut Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC).

Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada tiga buah Wilayah Persekutuan Malaysia, dan juga sebuah enklaf dalam negeri Selangor, di pantai barat tengah Semenanjung Malaysia.

Semenjak 1990-an, bandar raya ini menjadi tuan rumah kepada berbilang acara sukan, politik dan kebudayaan, termasuk Sukan Komanwel 1998, Sukan Asia Tenggara 2017 dan Kejohanan Dunia Formula Satu. Selain itu, di bandar ini juga berdirinya bangunan kedua tertinggi di dunia dan pertama di Asia Tenggara iaitu Menara Merdeka 118 dan yang paling terkenal ialah menara berkembar tertinggi di dunia iaitu Menara Berkembar Petronas.

Kuala Lumpur dihubungkan dengan negara dan kawasan lain oleh dua buah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang kini hanya menyediakan penerbangan domestik. Kuala Lumpur juga dapat dihubungkan dengan kawasan bandar yang berdekatan seperti Petaling Jaya melalui Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang. Penduduk bandar ini boleh mengunjungi kawasan lain di Semenanjung dengan perkhidmatan rel melalui Kuala Lumpur Sentral.