Sarawak
Sarawak
سراوق | |
|---|---|
Jata | |
| Nama panggilan: Bumi Kenyalang | |
| Cogan kata: Bersatu, Berusaha, Berbakti | |
| Lagu: Ibu Pertiwiku | |
| Koordinat: 2°48′N 113°53′E / 2.800°N 113.883°E | |
| Negara | Malaysia |
| Kesultanan Sarawak | 1599 |
| Kerajaan Sarawak | 24 September 1841 |
| Pendudukan Jepun | 16 Disember 1941 |
| Tanah jajahan mahkota | 1 Julai 1946 |
| Mendapat hak pemerintahan sendiri | 22 Julai 1963 |
| Persekutuan Malaysia | 16 September 1963 |
| Ibu negeri (dan bandar terbesar) | Kuching |
| Bahagian | |
| Pentadbiran | |
| • Yang di-Pertua Negeri | Wan Junaidi Tuanku Jaafar |
| • Premier | Abang Johari Openg (GPS-PBB) |
| Keluasan | |
| • Jumlah | 124,450 km2 (48,050 batu persegi) |
| Penduduk (2024) | |
| • Jumlah | 2,939,785 |
| • Kepadatan | 24/km2 (61/batu persegi) |
| Demonim | Rakyat Sarawak |
| Indeks Pembangunan Manusia (HDI) | |
| • HDI (2023) | 0.824 |
| Zon waktu | UTC+8 (MST) |
| Poskod | 93xxx kr 98xxx |
| Kod panggilan | 082 hingga 086 |
| Kod ISO 3166 | K (MY-13, 50–53) |
| Pendaftaran kenderaan | QA hingga QT |
| Laman sesawang | "Official Portal of the Sarawak Government". |
Sarawak (Jawi: سراوق) atau dikenali juga sebagai Sarawak Bumi Kenyalang (سراوق بومي کڽالڠ) merupakan sebuah wilayah di Malaysia. Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia, dengan keluasannya hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia. Sarawak terletak di Malaysia Timur, tepatnya di barat laut pulau Borneo, bersempadan dengan wilayah Sabah di timur laut, Kalimantan (wilayah Indonesia di Borneo) di selatan dan negara Brunei di timur laut. Ibu negeri Sarawak, Kuching merupakan bandar terbesar di Sarawak, pusat ekonomi negeri dan merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri Sarawak. Antara bandar dan pekan lain yang terletak di Sarawak termasuklah Miri, Sibu dan Bintulu. Setakat tahun 2020, negeri Sarawak mempunyai jumlah populasi seramai 2.453 juta orang. Sarawak beriklim khatulistiwa dengan hutan hujan tropika dan berbagai spesies haiwan dan tumbuhan, serta beberapa sistem gua yang terkenal di Taman Negara Mulu. Sarawak juga menempatkan sungai terpanjang di Malaysia, iaitu Batang Rajang, di mana Empangan Bakun, empangan terbesar di Asia Tenggara juga terletak di salah satu anak sungainya, iaitu Sungai Balui. Gunung Murud merupakan puncak tertinggi di negeri ini, dengan ketinggian 2,424 meter.
Penempatan manusia yang paling awal diketahui di Sarawak adalah di Gua Niah yang berusia kira-kira 40,000 tahun dahulu. Satu siri seramik Cina bertarikh dari abad ke-8 hingga ke-13 Masihi telah ditemui di tapak arkeologi Santubong. Wilayah pesisir Sarawak berada di bawah pengaruh Empayar Brunei pada abad ke-16. Pada tahun 1839, James Brooke, seorang penjelajah British, tiba di Sarawak. Beliau dan keturunannya telah memerintah Sarawak dari tahun 1841 hingga 1946. Semasa Perang Dunia Kedua, Sarawak telah dijajah oleh Jepun selama tiga tahun. Selepas perang, Rajah Putih yang terakhir, Charles Vyner Brooke, menyerahkan Sarawak ke Britain, dan pada tahun 1946 ia menjadi sebuah Koloni Mahkota British. Pada 22 Julai 1963, Sarawak diberikan kuasa untuk mewujudkan kerajaan sendiri oleh British dan kemudiannya menjadi salah satu wilayah dalam Persekutuan Malaysia, yang ditubuhkan pada 16 September 1963. Namun, persekutuan itu ditentang oleh Indonesia yang membawa kepada konfrontasi selama tiga tahun. Pembentukan Malaysia juga mengakibatkan pemberontakan komunis yang berlangsung hingga tahun 1990.
Ketua wilayah Sarawak ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, manakala ketua kerajaan Sarawak ialah Premier Sarawak. Sarawak dibahagikan kepada beberapa bahagian, dan daerah-daerah, yang ditadbir oleh sebuah sistem yang dimodelkan dengan teliti pada sistem Westminster dan juga merupakan sistem perundangan negeri yang terawal di Malaysia. Menurut Perlembagaan Persekutuan, Sarawak mempunyai kuasa autonomi yang lebih besar berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Kerana sumber semula jadinya yang besar, ekonomi Sarawak dikhususkan dalam eksport minyak dan gas, kayu, dan kelapa sawit. Sarawak juga mempunyai sektor-sektor lain seperti sektor perkhidmatan (perkhidmatan awam dan swasta), sektor kewangan dan pelaburan, sektor perkilangan dan perindustrian, sektor perniagaan, sektor pembinaan (projek hartanah, perumahan, dan pembangunan bandar), sektor sumber tenaga alternatif (tenaga hidrogen, tenaga air, tenaga solar, dan tenaga geothermal), sektor pertanian moden, serta sektor pelancongan dan kebudayaan yang semakin rancak. Sarawak mempunyai pelbagai kaum dan etnik yang sangat unik, penuh kebudayaan, dan linguistik. Mereka terdiri daripada kumpulan etnik utama termasuk Iban, Cina, Melayu, Melanau, Bidayuh, Kenyah, Kelabit, dan Orang Ulu. Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi bagi wilayah Sarawak, manakala Bahasa Iban merupakan bahasa pertuturan majoriti masyarakat setempat di Sarawak. Sarawak juga merupakan satu-satunya wilayah yang tidak mempunyai agama rasminya sendiri.