Buchis
| Buchis | |
|---|---|
| Pusat kultus utama | Hermonthis |
| Simbol | lembu jantan putih dengan muncung hitam |
| Sebahagian daripada siri |
| Agama Mesir Purba |
|---|
| Portal Mesir Purba |
Dalam mitologi Mesir, Buchis (AFA: /buxis/; Yunani Purba: Βουχις, Qibti: ⲃⲱⲱϩ, ⲃⲟϩ; Jawi: بوخيس) (juga dieja Bakh dan Bakha) merupakan pendewaan kꜣ ("kuasa, daya hidup", sebutan Egiptologi ka) bagi dewa perang Montu sebagai lembu suci yang disembah di wilayah Hermonthis. Untuk dipilih sebagai penjelmaan Buchis Montu, seekor lembu jantan perlu mempunyai badan putih dan muka hitam. Apabila lembu-lembu ini—dan pada zaman kemudian ibu-ibunya juga—mati, mereka akan dimumiakan dan diletakkan di tanah perkuburan khas yang dikenali sebagai Bucheum.
Berbeza dengan lembu suci Mesir lain (Apis dan Mnevis), kultus Buchis bermula menjelang akhir zaman firaun, dengan pengebumian terawal yang diketahui berlaku pada tahun pemerintahan ke-14 Nectanebo II (pertengahan abad ke-4 SM). Walau bagaimanapun, empat kultus lembu berbeza yang didedikasikan untuk Montu telah diketahui wujud pada zaman sebelumnya di Mesir Hulu, dan nampaknya Buchis ialah hasil sinkretisme mereka semua. Akhirnya, lembu Buchis dikenal pasti sebagai satu jelmaan Apis, dan seterusnya dianggap sebagai penjelmaan Osiris.
Tidak pasti bila kultus Buchis pupus. Kubur terakhir yang disahkan di Bucheum bertarikh tahun pemerintahan ke-12 Diocletian (sekitar 295 SM), manakala pengesahan terakhir pengebumian Buchis ialah stele yang melaporkan pelantikannya pada tahun pemerintahan ke-33 Diocletian (317 TM) dan kematiannya pada tahun pemerintahan ke-57 firaun yang sama (lebih tepat pada 4 November 340 TM).