Agama Kush
| Agama Kush | |
|---|---|
| Jenis | Agama peribumi |
| Orientasi | Politeistik Animisme (semasa Budaya Kerma) |
| Rantau | Nubia (kini Sudan) |
| Markas | Kerma, kemudian Meroe |
| Wilayah | Nubia |
| Bubar | Pertengahan abad ke-4 Masihi |
Agama Kush merupakan sistem kepercayaan tradisional dan himpunan dewa-dewi yang dikaitkan dengan orang Kush kuno, yang mengasaskan Kerajaan Kush di tanah Nubia (juga dikenali sebagai Ta-Seti) di wilayah yang kini dikenali sebagai Sudan.
Asal usul dan asas amalan serta beberapa dewa Kush awal yang direkodkan berasal ataupun dipengaruhi terutamanya oleh Budaya Kerma serta pengaruh daripada Budaya Kumpulan C, Budaya Kumpulan A, Budaya Kubur Dulang dan agama Mesir purba. Menjelang Kerajaan Pertengahan, orang Nubia mempunyai lebih banyak kawalan ke atas wilayah mereka sendiri dan ada yang berintegrasi ke dalam masyarakat Mesir. Pengasasan Kerajaan Kush, dengan ibu kotanya di Kerma, menandakan tempoh penting apabila orang Nubia mengekalkan amalan-amalan keagamaan unik mereka sendiri, seperti yang dilihat dalam pengebumian-pengebumian mewah Zaman Kerma Klasik (s. 1750-1450 SM).
Dalam Zaman Kerajaan Baru, Nubia dikawal oleh Mesir tetapi kemudian disatukan di bawah pemimpin seperti Raja Alara dan Raja Kashta, membawa kepada pengasasan "Kerajaan Kush Kedua." Era ini menyaksikan pengintegrasian dewa-dewi Nubia dan Mesir. Selepas kejatuhan Dinasti Kedua Puluh Lima, amalan-amalan agama Nubia berterusan sepanjang dijajah kuasa-kuasa asing. Semasa Zaman Meroitik, ibu kota berpindah ke Meruwi, dan tumpuan beralih kepada dewa-dewa peribumi seperti Apedemak. Menjelang pertengahan abad ke-4, wilayah itu memeluk agama Kristian, menandakan berakhirnya agama tradisional Kush.