Kartusy

Dalam hieroglif Mesir, kartusy (AFA: /kɑrtuʃ/) ialah bentuk bujur dengan garis di satu hujung yang bersentuhan dengannya, menunjukkan bahawa teks di dalamnya nama diraja. Contoh-contoh pertama kartusy digunakan oleh firaun-firaun pada akhir Dinasti Ketiga, tetapi ia tidak digunakan secara meluas sehingga permulaan Dinasti Keempat di bawah Firaun Sneferu. Walaupun kartusy biasanya menegak dengan garis mendatar, jika ia menjadikan nama lebih muat, ia boleh ditulis secara mendatar, dengan garis menegak di hujungnya (mengikut arah bacaan). Perkataan Mesir purba untuk kartusy ialah shenu (bandingkan dengan bahasa Koptik ϣⲛⲉ šne dengan perubahan bunyi), dan kartusy pada dasarnya ialah cincin shen yang dilebarkan. Tulisan Demotik meringkaskan kartusy kepada sepasang kurungan dan garis menegak.

Daripada lima gelaran diraja, ia adalah prenomen (nama pemerintahan), dan gelaran "Anak Ra" (nama yang diberikan semasa kelahiran, dipanggil nomen), yang dikurung dengan kartusy.

Kadangkala azimat dibuat dalam bentuk kartusy memaparkan nama raja dan diletakkan dalam makam-makam. Ahli arkeologi sering menemui barang-barang sedemikian yang penting untuk menentukan tarikh makam dan isinya. Kartusy dahulunya hanya dipakai oleh firaun. Bentuk bujur yang mengelilingi nama mereka bertujuan untuk melindungi mereka daripada roh jahat semasa hidup dan selepas mati. Kartusy telah menjadi simbol yang mewakili tuah dan perlindungan daripada kejahatan.

Istilah "kartusy" mula digunakan oleh askar Perancis yang menganggap simbol yang mereka lihat begitu kerap diulang pada runtuhan firaun yang mereka temui menyerupai kartrij serbuk kertas untuk senjata api bermuncung panjang (cartouche dalam bahasa Perancis).

Kartusy
dalam hieroglif Mesir

Sebagai hieroglif, kartusy boleh mewakili perkataan bahasa Mesir untuk "nama". Ia disenaraikan sebagai no. V10 dalam Senarai Tanda Gardiner.

Kartusy dalam separuh bahagian, Gardiner no. V11 (seperti yang dilihat di bawah) mempunyai makna yang berasingan dalam bahasa Mesir sebagai penentu untuk perbuatan dan kata nama yang berkaitan dengan item: "membahagi", "mengecualikan".
Hieroglif kartusy digunakan sebagai penentu untuk bahasa Mesir šn-(sh)n, untuk "litar", atau "cincin"-(seperti cincin shen atau kartusy). Kemudiannya ia digunakan untuk rn, perkataan "nama". Perkataan ini juga boleh dieja sebagai "r" dengan "n", mulut di atas n mendatar.