Mata Ra
| Sebahagian daripada siri |
| Agama Mesir Purba |
|---|
| Portal Mesir Purba |
Mata Ra, biasanya digambarkan sebagai cakera matahari atau mata wadjet kanan (berpasangan dengan Mata Horus, mata wadjet kiri), merupakan entiti dalam mitologi Mesir purba yang berfungsi sebagai lanjutan kuasa dewa matahari Ra, disamakan dengan cakera matahari, tetapi ia sering bertindak sebagai dewi yang tersendiri, pasangan feminin kepada Ra dan kuasa ganas yang menundukkan musuhnya. Dewi ini, juga dikenali dengan teonim Wadjet, boleh disamakan dengan beberapa dewa tertentu antaranya Hathor, Sekhmet, Bastet, Raet-Tawy, Menhit, Tefnut, dan Mut. Dewi mata ini bertindak sebagai ibu, saudara, pasangan, dan anak perempuan dewa matahari. Dia adalah pasangannya dalam kitaran penciptaan yang mana dia melahirkan bentuk baru si dewa pada subuh. Aspek ganas mata ini mempertahankan Ra daripada mana-mana pembuat kacau yang mengancam pemerintahannya. Aspek berbahaya dewi mata ini sering diwakili oleh singa betina atau ureus, yakni ular tedung, simbol perlindungan dan kuasa diraja. Kemarahan dan kerusuhan dewi mata ini serta usaha para dewa untuk menenangkannya merupakan motif utama dalam mitologi Mesir.
Mata Ra terlibat dalam banyak aspek agama Mesir purba, termasuk dalam kultus banyak dewi yang disamakan dengannya. Kuasa penghidupannya diraikan dalam ritual kuil, manakala aspek berbahayanya digunakan untuk melindungi firaun, tempat suci, dan orang biasa serta kediaman mereka.