Konsep jiwa dalam Mesir purba
| Sebahagian daripada siri |
| Agama Mesir Purba |
|---|
| Portal Mesir Purba |
Orang Mesir purba percaya bahawa jiwa (kꜣ dan bꜣ; Sebutan Mesirologi: ka/ba) terdiri daripada banyak bahagian. Selain komponen jiwa ini, terdapat juga tubuh manusia (dipanggil ḥꜥ, kandangkala dalam bentuk jamak ḥꜥw, yang bermaksud lebih kurang "seluruh anggota badan").
Menurut mitos penciptaan Mesir purba, dewa Atum mencipta dunia daripada kekacauan, menggunakan sihirnya sendiri (ḥkꜣ). Oleh sebab bumi dicipta dengan sihir, orang Mesir percaya bahawa dunia dipenuhi dengan sihir, begitulah juga setiap makhluk hidup di atasnya. Apabila manusia dicipta, sihir itu membentuk sebagai jiwa, suatu daya abadi yang tinggal di dalam dan bersama setiap manusia. Konsep jiwa dan bahagian-bahagian yang termasuk dalamnya berubah-ubah dari zaman Kerajaan Lama ke zaman Kerajaan Baru, adakalanya berubah dari satu dinasti ke dinasti yang lain, dari lima bahagian kepada lebih banyak. Kebanyakan teks pengebumian Mesir purba menyebutkan banyak bahagian jiwa:
- Khet atau "badan fizikal"
- Sah atau "badan rohani"
- Ren atau "nama, identiti"
- Ba atau "personaliti"
- Ka atau "gandaan" atau "intipati penting"
- Ib atau "jantung"
- Shuyet atau "bayang"
- Sekhem atau "kuasa, bentuk"
Secara kolektifnya, roh-roh orang yang telah mati ini dipanggil Akh setelah orang itu berjaya menamatkan peralihannya ke alam akhirat. Ahli Mesirologi R. David, dari Universiti Manchester, menerangkan banyak aspek jiwa seperti berikut:
Orang Mesir percaya bahawa personaliti manusia mempunyai banyak aspek—konsep yang mungkin dikembangkan pada awal Kerajaan Lama. Dalam hidup, seseorang itu merupakan entiti yang lengkap tetapi jika dia menjalani hidup yang baik, dia juga boleh mempunyai akses kepada pelbagai rupa bentuk yang boleh digunakan di alam seterusnya. Dalam sesetengah kes, rupa bentuk ini boleh digunakan untuk membantu mereka yang ingin disokong oleh si mati atau, sebaliknya, untuk membalas dendam terhadap musuhnya.