Senarai filem Malaysia berdasarkan kutipan tertinggi

Perfileman tanah air dibentuk secara rasmi pada tahun 1980 oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Filem kebiasaannya menjana pendapatan daripada beberapa aliran hasil, termasuk pameran teater, cakera padat, penyiaran televisyen dan barangan dagangan. Walau bagaimanapun, pendapatan box-office filem ialah metrik utama untuk penerbitan perdagangan dalam menilai kejayaan sesebuah filem, kebanyakannya kerana ketersediaan data berbanding angka jualan daripada cakera padat dan hak penyiaran televisyen. Di dalam senarai ini ialah carta penerima filem yang mempunyai kutipan tertinggi mengikut tahun kalendar dan garis masa yang menunjukkan peralihan rekod filem dengan kutipan tertinggi serta siri filem dengan kutipan tertinggi. Semua carta disenaraikan mengikut prestasi box-office panggung wayang di seluruh Malaysia. Kutipan yang ditulis adalah tidak termasuk daripada penjualan cakera padat, penyiaran televisyen iaitu melalui Astro First dan tayangan secara OTT seperti Netflix, Disney+ Hotstar dan Amazon Prime.

Secara tradisinya, filem perang, komedi, aksi, animasi dan seram telah menjadi genre yang paling popular dan digemari di kalangan rakyat Malaysia, kebiasaanya filem francais telah menjadi dominasi filem yang paling laris di abad ke-21. Francais bagi siri filem Polis EVO telah mencatatkan penerima kutipan tertinggi siri filem Malaysia setakat ini, dimana filem Polis EVO 3 telah memegang rekod sebagai filem Malaysia yang mempunyai kutipan kedua tertinggi serta filem Polis EVO 2 juga turut memegang filem Malaysia yang ke-20 yang mempunyai kutipan tertinggi serta Polis EVO yang menjadi bualan hangat dan membangkitkan serta menaikkan martabat filem tempatan yang merundum kerana kualiti yang teruk sejak permulaan abad ke-21. Ketiga-tiga buah filem ini telah menerima kutipan sebanyak RM 90.19 juta. Turut diikuti oleh francais siri filem daripada Animonsta Studios dengan 3 filem animasi mereka arahan Nizam Razak (Mechamato Movie - terbitan bersama Astro Shaw, BoBoiBoy Movie 2 dan BoBoiBoy: The Movie) dengan jumlah kutipan kumulatif keseluruhan siri RM81.68 juta, siri filem Munafik arahan Syamsul Yusof dengan kutipan kedua-dua filem tersebut RM67.04 juta, Abang Long Fadil arahan Syafiq Yusof (adik Syamsul) mendapat kutipan sebanyak RM58.61 juta sekaligus menjadikan keluarga Dato' Yusof Haslam (Dato' Yusof sendiri, Syamsul dan Syafiq) menjadi 3 pengarah termahal di Malaysia menurut Harian Metro.

Setakat ini, Syamsul Yusof adalah pengarah yang mendominasi industri filem tempatan daripada aspek kutipan filem tertinggi. Pada tahun 2022, Syamsul telah mempunyai 11 filem arahannya di mana filem pertamanya, Evolusi KL Drift (2008) yang menerima kutipan sebanyak RM 4.5 juta turut diikuti oleh filem keduanya Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009, RM 4.2 juta), Evolusi KL Drift 2 (2010, RM 5.5 juta), Khurafat: Perjanjian Syaitan (2011, RM 8.5 juta), KL Gangster (2011, RM 11.74 juta), Aku Bukan Tomboy (2011, RM 2.2 juta), Jalan Kembali: Bohsia 2 (2012, RM 4.98 juta), KL Gangster 2 (2013, RM 4.96 juta), Munafik (2016, RM19.04 juta), Munafik 2 (2018, RM 48 juta) dan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022, RM 84 juta) telah mencipta sejarah sebagai filem Malaysia paling laris mengatasi semua filem-filem antarabangsa.