Kosmologi Hindu
Kosmologi Hindu ialah huraian tentang alam semesta dan keadaan jirimnya, kitaran dalam masa, struktur fizikal, serta kesannya ke atas makhluk hidup menurut teks Hindu. Kosmologi Hindu juga berkait rapat dengan idea tentang seorang Pencipta yang membolehkan dunia ini wujud dan mengambil bentuk.
Dunia ini tempat kita hidup, bergerak dan ada, sejak dahulu kala telah merangsang imaginasi para ahli falsafah tentang asal-usul dan perkembangannya. Adalah suatu pengalaman yang menarik, bahkan mempesonakan, untuk menelusuri pelbagai kisah penciptaan yang terdapat dalam kitab-kitab suci Hindu dan karya falsafahnya.
Rig Veda telah membicarakan hal ini dalam beberapa himpunan sukta, tetapi belum ada usaha untuk memberikan teori yang mantap dan falsafah yang tersusun. Sebelum sristi atau penciptaan, Tuhan sahaja yang wujud. Dialah bapa kita. Dia berkehendak untuk mencipta. Dia menzahirkan dunia ini daripada dirinya sendiri dan masuk ke dalamnya. Purusha Sukta yang masyhur menggambarkan seluruh ciptaan ini lahir daripada Purusa atau Wujud Purba dengan menggunakan perlambangan korban suci.
Karya Veda lain seperti Brahmana juga berpegang pada pandangan yang serupa. Taittiriya Brahmana secara tersirat menyatakan (2.8.9.7) bahawa Deva adalah sebab material dan juga sebab pelaksana bagi alam semesta ini. Istilah Visvakarma (dia yang menjadikan dunia ini sebagai karyanya), Hiranyagarbha (telur emas) dan Prajapati (tuan segala makhluk) turut digunakan dalam karya ini untuk merujuk kepada Pencipta.
Dalam beberapa kisah Veda tentang penciptaan, air purba digambarkan sebagai unsur pertama daripada mana lahirnya ciptaan seterusnya. Maka terdapat dua aliran pemikiran di sini: satu menyatakan alam berkembang daripada Tuhan, dan satu lagi bahawa ia dicipta oleh Tuhan. Kisah penciptaan biasanya juga menyentuh tentang pemeliharaan (sthiti) dan peleburannya (pralaya).
Upanisad yang mengandungi rujukan lebih khusus mengenai penciptaan umumnya mengikuti pola pemikiran Veda. Sebelum penciptaan, Brahman, juga disebut Atman atau Sat, sahaja yang wujud. Ia berkehendak untuk menjadi banyak, lalu mencipta tejas atau api, ap atau air, dan anna atau bumi. Tiga unsur asas inilah yang melahirkan seluruh ciptaan (rujuk Chandogya Upanisad 6.2). Beberapa Upanisad lain menjejak asal-usul alam daripada Atman melalui pancabhuta atau lima unsur asas (rujuk Taittiriya Upanisad 2.1; 2.6), sementara yang lain seperti Prasna (1.4) menerangkan penciptaan melalui bahan dan roh (rayi dan prana). Terdapat juga pandangan bahawa jiwa-jiwa individu lahir daripada Brahman umpama percikan api daripada unggun (Mundaka Upanisad 2.1.1). Idea bahawa Brahman setelah mencipta dunia lalu masuk ke dalamnya dan mengawalnya dari dalam juga dikemukakan (Taittiriya Upanisad 2.6).
Epos dan Purana pula memberikan pelbagai gambaran tentang penciptaan. Dalam satu corak kisah, Visnu atau Narayana menzahirkan Brahma (pencipta berkepala empat) yang seterusnya mencipta pelbagai alam (sama ada 3, 7 atau 14 bilangannya) dan segala penghuninya daripada dirinya. Dalam kisah lain, Narayana mencipta telur emas (Hiranyagarbha) yang terapung di atas air purba. Dia sendiri menghidupkannya, memecahkannya menjadi dua, lalu terbentuklah bumi dan langit. Purusa atau Prajapati yang lahir daripadanya kemudian mencipta segala makhluk. Terdapat juga kisah bahawa Pencipta membahagikan dirinya kepada dua prinsip – lelaki dan perempuan – dan daripada penyatuan keduanya lahirlah seluruh ciptaan. Teori ini sebenarnya berpunca daripada gambaran serupa dalam Upanisad seperti Brihadaranyaka (1.4.2-4).
Enam sistem falsafah (Sad-darsana) juga membicarakan persoalan ini dengan teori masing-masing. Sekolah Nyaya dan Vaisesika berpendapat bahawa Isvara atau Tuhan mencipta dunia daripada zat-zat abadi seperti atom, ruang, masa, akasa, minda dan jiwa. Dialah juga yang bertanggungjawab atas pemeliharaan dan peleburannya. Sistem Sankhya dan Yoga pula mengemukakan teori bahawa prakriti atau alam purba (yang terdiri daripada tiga guna: sattva, rajas dan tamas) berkembang setahap demi setahap menjadi alam ini kerana kehendak Isvara serta kehadiran para purusa atau jiwa individu. Teori ini turut dikaungkan dalam beberapa Purana. Sistem Purva Mimamsa menganggap dunia dan jiwa-jiwa itu abadi—tidak dicipta dan tidak dimusnahkan—tetapi ditentukan oleh karma (kesan perbuatan yang tidak kelihatan).
Sistem Vedanta pula menyusun falsafah Upanisad. Advaita Vedanta oleh Sankara (788–820 M) menganggap dunia ini sebagai penampakan maya dalam Brahman, hakikat yang sebenar. Walaupun teori penciptaan yang terdapat dalam Upanisad diterima, ia hanya diberikan taraf pengalaman duniawi. Sekolah Vedanta teistik oleh Ramanuja (1017–1137 M) dan Madhva (1197–1276 M) sebaliknya menerima hakikat realiti penciptaan dan alam ciptaan.
Maka jelaslah terdapat pelbagai ragam gambaran tentang proses penciptaan sehingga sukar untuk meletakkan satu teori yang pasti. Namun pola pemikiran yang lahir dalam Rigveda dan berkembang dalam Upanisad boleh dianggap lebih berwibawa dan lebih diterima umum berbanding yang lain. Ringkasnya, ia menyatakan bahawa Tuhan yang Mutlak mencipta dunia daripada dirinya sendiri, atas kehendaknya, memeliharanya, memerintahnya, dan meleburkannya di akhir setiap kitaran. Kitaran penciptaan, pemeliharaan dan pelepuran ini berlangsung secara abadi.
Tujuan seluruh penciptaan ini ialah untuk memberikan kepada para jiva atau jiwa-jiwa individu yang terikat, satu lagi kesempatan untuk mencapai penebusan dan pembebasan daripada kelahiran semula. Oleh kerana inilah tema utama falsafah dan agama Hindu, maka soal perincian proses penciptaan itu sendiri tidak banyak diberi perhatian.