Madhvacharya

Madhvacarya (1238-1317 Masihi) juga dikenali sebagai Purnaprajna dan Anandatirtha. Sumber biografinya yang sah ialah Madhvavijaya dalam Sanskrit oleh Narayana Pandita (1287-1350 Masihi). Beliau merupakan anak Trivikrama Pandita, seorang pengikut Advaita yang kemudiannya memeluk fahaman Dvaita disebabkan pengaruh Madhvacarya. Menurut tradisi Dvaita, Madhvācārya ialah penjelmaan Mukhyapraṇa (sama dengan Hiranyagarbha, dan juga dikenali sebagai Dewa Vayu dan Sutaātman, satu aspek Maha Viṣṇu). Dalam zaman Treta, Vayu telah lahir sebagai Hanuman dan dalam zaman Dwapara sebagai Bhima, iaitu salah seorang Pānḍava. Kelahiran Madhvā dalam zaman Kali adalah untuk membawa keseimbangan antara hati dan akal. Pada zaman itu, wujud dua fahaman yang ekstrem. Pengikut Jnana (falsafah Advaita) menekankan intelektual yang hambar. Golongan Bhakta (falsafah Visishtadvaita) yang beremosi pula mudah menjadi fanatik. Oleh itu, untuk membawa keseimbangan antara dua falsafah ini, Madhva memperkenalkan satu sistem yang menekankan kedua-dua hati dan akal.