Sankaracharya
Adi Saṇkaracharya (788 - 820 Masihi) - juga dikenali sebagai Sankaracharya, (Ādi) Śaṅkarācārya, Śaṅkara Bhagavatpāda, Śaṅkara Bhagavatpādācārya. Beliau merupakan salah seorang ahli falsafah dan teologi Hindu yang terkenal dari India. Doktrin Advaita Vedanta merupakan sumbangan utama Sankara.
Penulisan Sankara dalam bahasa Sanskrit telah memberikan asas yang kukuh untuk doktrin Advaita Vedanta. Beliau juga telah menulis ulasan-ulasan Upanishad, Brahmasutra dan Bhagavad Gita (ketiga-tiga kitab ini dikenali sebagai Prasthanatraya). Penulisan Sankara menentang ajaran-ajaran falsafah Mimamsa dan beberapa mazhab Samkhya dan mazbah Buddha.
Sankara merantau di seluruh benua India untuk menyebarkan falsafahnya melalui perbincangan dan perdebatan dengan pemikir-pemikir lain. Beliau juga memberikan nafas baharu kepada kehidupan rahib atau Samnyasa dengan mengasaskan tradisi rahib Dasanami. Sankara juga ialah pengasas empat biara utama yang memainkan peranan penting dalam perkembangan dan pembangunan semula Advaita Vedanta.