Vaisesika Darsana
Vaisheshika (IAST: Vaiśeṣika; /vaɪˈʃɛʃɪkə/; Sanskrit: वैशेषिक) ialah salah satu daripada enam aliran utama falsafah Hindu kuno dari India. Pada peringkat awal, Vaisheshika merupakan satu sistem falsafah yang bebas dengan metafizik, epistemologi, logik, etika dan soteriologinya yang tersendiri.
Namun, dengan peredaran masa, sistem Vaisheshika mula menunjukkan persamaan dengan aliran Nyaya dari segi kaedah falsafah, rumusan etika dan pandangan tentang pembebasan rohani. Walaupun begitu, ia tetap mengekalkan perbezaan dalam aspek epistemologi dan metafizik.
Vaiseshika diasaskan oleh Resi Kanada, yang juga dikenali sebagai Uluka. Oleh itu, ia turut dikenali sebagai Kanada atau Aulukya Darshana. Nama 'Kanada' dipercayai berasal daripada gaya hidupnya sebagai pertapa yang hidup dengan memungut butiran gandum (kana = butiran; ad = makan).