Upanishad
| Teks Hindu |
| Śruti
Smriti |
Upanishad (Sanskrit: उपनिषद्, IAST: Upaniṣad, sebutan: [ˈupɐniʂɐd]) merupakan teks-teks Hindu dalam bahasa Sanskrit dari zaman akhir Veda dan pasca-Veda. Ia mengandungi ajaran-ajaran falsafah yang mendalam mengenai hakikat realiti, diri (Atman), dan prinsip muktamad (Brahman).
Istilah Upanishad bermaksud "mereka yang duduk berhampiran" merujuk kepada para pendeta yang sering mendengar ajaran-ajaran rahsia dari para resi atau guru kerohanian ("spiritual teacher"). Walaupun terdapat lebih dua ratus Upanishad, hanya lima belas disebut oleh para sarjana Hindu seperti Sankara (788-820). Lima belas ini serta Maitri adalah dianggap sebagai Upanishad yang utama. Upanishad yang tertua dan terpanjang ialah Brihadaranyaka Upanishad dan Chandogya Upanishad dari abad ke-7 SM.
Upanishad merupakan sebahagian daripada Veda. Semua Upanishad adalah dalam bahasa Sanskrit purba yang digunakan dalam Veda. Upanishad mengandungi ajaran falsafah serta konsep-konsep utama agama Hindu. Beberapa ajaran Upanishad juga kemudiannya dikongsi oleh tradisi lain seperti agama-agama Buddha dan Jain.
Upanishad dianggap sebagai kesusasteraan utama dan paling penting dalam sejarah agama-agama dan kebudayaan India. Teks-teks ini memainkan peranan penting dalam perkembangan idea-idea kerohanian di India purba, menandakan titik peralihan daripada ritualisme Vedik kepada idea-idea dan institusi-institusi baru. Antara semua sastera Vedik, hanya Upanishad yang telah menjadi popular dan masih berkembang ke seluruh dunia. Tidak dapat dinafikan bahawa ajaran Upanishad merupakan intipati agama Hindu.
Amnya, Upanishad juga dikenali sebagai Vedanta. Vedanta bermaksud "bahagian akhir Veda" atau "matlamat akhir Veda". Konsep-konsep Brahman (Realiti Agung) dan Atman (Diri) merupakan tema utama Upanishad. Selain Bhagavadgita dan Brahmasutra, Upanishad-Upanishad utama merupakan tiga asas kepada beberapa fahaman Vedanta.
Upanishad merupakan teks yang perlu dikuasai sebelum seseorang mempelajari Bhagavad Gita.