Taittiriya Upanishad
Taittiriya Upanishad (Sanskrit: तैत्तिरीयोपनिषद्, IAST: Taittirīyopaniṣad) merupakan sebuah teks Sanskrit dari zaman Veda yang terkandung sebagai tiga bab (adhyāya) dalam Yajurveda. Ia dikategorikan sebagai salah satu Upanishad utama (mukhya) dan dipercayai disusun sekitar abad ke-6 SM.
Upanishad Taittirīya dikaitkan dengan Taittiriya Aranyaka dalam Yajurveda, yang berasal daripada murid-murid kepada resi (mahaguru) Vaiaampayana. Dalam kanon Muktika yang mengandungi 108 buah Upanishad, ia disenaraikan sebagai nombor 7.
Secara khusus, Upaniṣad Taittiriya merangkumi bab ke-7, ke-8 dan ke-9 dalam Taittiriya Aranyaka, yang masing-masing juga dikenali sebagai Sikshavalli, Anandavalli dan Bhriguvalli.
Yajurveda pada asasnya merupakan sebuah buku panduan bagi pelaksanaan ritual Veda. Ia terbahagi kepada dua cabang utama: Kṛṣṇa Yajurveda dan Śukla Yajurveda. Kṛṣṇa Yajurveda juga dikenali sebagai Taittiriya, dan seperti Veda-Veda lain, ia mengandungi bahagian Samhita, Brahmana dan Aranyaka. Upanishad Taittiriya terdiri daripada tiga bab, yakni bab ke-7 hingga ke-9 dalam bahagian Araṇyaka dalam Yajurveda. Bab ke-10 dikenali sebagai Mahanarayana Upanishad atau Yajniki Upanishad yang terkenal.