Minangkabau

Minangkabau
مينڠكاباو‎ / مينڠ
Pengantin perempuan dan pengantin lelaki memakai pakaian tradisional Minangkabau
Jumlah penduduk
8 juta
Kawasan ramai penduduk
 Indonesia (bancian 2022)6,462,713
         Sumatera Barat1,747,000
         Riau535,000
         Sumatra Utara307,000
         Jakarta265,000
         Jawa Barat169,000
         Jambi168,947
         Kepulauan Riau (provinsi)156,770
 Malaysia934,000
 Singapura15,720
Bahasa
Minangkabau, Indonesia, Melayu, dan Inggeris
Agama
Islam

Orang Minangkabau (Minangkabau: Urang Minangkabau atau Minang; Jawi: مينڠكاباو atau مينڠ‎) merupakan kumpulan etnik Nusantara yang berasal dari Tanah Tinggi Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Wilayah penganut kebudayaan Minangkabau tersebar di separuh darat Riau, bahagian utara Bengkulu, bahagian barat Jambi, bahagian pantai barat Sumatera Utara, barat daya Aceh, Kalimantan, Sulawesi, dan juga Negeri Sembilan di Malaysia sebagai daerah rantau luar Australia, Thailand, Vietnam, India, Arab, Singapura, Filipina, Amerika Latin, Turki, China, Sepanyol, Portugis, Belanda, Jerman, England, dan Amerika. Kebudayaan mereka adalah bersifat keibuan (matrilineal), dengan harta dan tanah yang diwariskan oleh anak perempuan daripada ibu, sementara urusan agama dan politik merupakan urusan kaum lelaki (walaupun sesetengah wanita turut memainkan peranan penting dalam bidang ini). Kini sekitar separuh orang Minangkabau tinggal di rantau, majoriti di bandar dan pekan besar Indonesia dan Malaysia. Orang Melayu di Malaysia banyak yang berasal dari Minangkabau, kebanyakan mereka tinggal di Negeri Sembilan serta juga Selangor, Johor, dan Singapura.

Walaupun suku Minangkabau kuat dalam pegangan agama Islam, mereka juga kuat dalam mengamalkan amalan turun-temurun yang digelar adat. Beberapa unsur adat Minangkabau berasal dari fahaman animisme dan agama Hindu yang telah lama bertapak sebelum kedatangan Islam. Walau bagaimanapun, pengaruh agama Islam masih kuat di dalam adat Minangkabau, seperti yang tercatat di dalam pepatah mereka, Adat basandi syara', syara' basandi Kitabullah, yang bermaksud, adat (Minangkabau) bersendi hukum Islam dan hukum Islam bersendi Al Qur'an.

Orang Minangkabau sangat menonjol di bidang perniagaan, sebagai profesional dan intelektual. Mereka merupakan pewaris terhormat dari tradisi tua Kerajaan Malayu dan Sriwijaya yang gemar berdagang dan dinamik. Suku Minang mempunyai masakan khas yang popular dengan sebutan Masakan Padang, yang sangat digemari di Negaranya Iaitu Indonesia, Bahkan sampai ke banyak negara luara termasuk Malaysia dan Singapura.