Nusantara

Nusantara (Jawi: نوسانتارا, Hanacaraka: ꦤꦸꦱꦤ꧀ꦠꦫ) pertama kali digunakan oleh Kertanegara dari Singhasari dalam prasasti Mula Malurung bertarikh 1255 untuk merujuk pada benua Asia Tenggara. Ia adalah istilah bahasa Kawi dipopularkan pada zaman Majapahit di bawah pemerintahan panglima Gajah Mada yang merujuk kepada gugusan pulau mengelilingi pulau Jawa di lautan Asia Tenggara yang menjadi pusat kerajaan tersebut zaman itu. Hal ini dicatat dalam dokumen kontemporari seperti Pararaton dan Nagarakretagama.

Panggilan ini mempunyai takrifan berbeza mengikut kefahaman negara-negara moden sinambungan kerajaan purba ini. Indonesia mengaitkan nama Nusantara dengan seluruh wilayah pulau dirangkumkan dalam kedaulatan republik itu sahaja, hal ini tercermin dalam erti diberikan Kamus Besar Bahasa Indonesia serta dikukuhkan seberapa cendekiawan dalam negara disebut. Walau bagaimanapun, sumber dari negara-negara berjiranan (misalnya Kamus Dewan Malaysia) pula mentakrifkan Nusantara sebagai "kepulauan" atau gugusan pulau-pulau Melayu, lebih lanjut lagi tanah dipengaruhi budaya dan bahasa diamalkan orang Melayu termasuk Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand Selatan, Filipina, Brunei, Timor Leste dan Taiwan, kecuali Papua New Guinea; hal ini disokong beberapa penulisan akademik Barat pada abad ke-20.