Temenggung Johor

Temenggung Johor
تمڠڬوڠ جوهر (Jawi)
Wilayah/Negeri
Temenggung terakhir
Temenggung Tun Abu Bakar
31 Januari 1862 – 30 Jun 1868
Butiran
Penyandang terakhirTemenggung Tun Abu Bakar
Pemansuhan30 Jun 1868

Temenggung Johor (Jawi: تمڠڬوڠ جوهر), atau gelaran penuhnya Dato' Temenggung Seri Maharaja Johor, ialah jawatan warisan dan pembesar utama Kesultanan Johor Lama serta salah seorang ahli Majlis Orang Kaya yang ditubuhkan oleh Sultan Johor ke-7, Sultan Abdul Jalil Shah III. Temenggung Johor diberikan tugas untuk mengawal keselamatan Sultan Johor dan menjaga keamanan negeri serta berkuasa mengawasi segala teluk rantau jajahan takluk Kesultanan Johor Lama.

Pada tahun 1806, Temenggung Tun Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Temenggung Johor oleh Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III di Istana Lingga. Beliau telah dikurniakan negeri Johor dan pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya oleh baginda untuk dijadikan sebagai kawasan pegangan beliau. Oleh sebab itu, Temenggung Johor boleh dianggap sebagai wakil pemerintah Kesultanan Johor Lama yang memerintah negeri Johor dan pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya. Keadaan ini sama seperti Bendahara Johor yang dikurniakan negeri Pahang lalu menjadi Raja Bendahara Pahang, Yang Dipertuan Muda Riau yang dikurniakan Kepulauan Riau dan Raja Temenggung Muar yang dikurniakan Muar.

Apabila Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830 melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu, negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang telah menjadi Kesultanan Riau-Lingga dan Temenggung Johor tidak lagi dinaungi oleh Sultan Johor yang telah menjadi Sultan Riau-Lingga pada ketika itu. Secara tidak langsung, Temenggung Johor telah menjadi pentadbir utama Johor dan beliau kekal mentadbir negeri Johor yang merupakan kawasan pegangan beliau. Temenggung Johor pada ketika itu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai Pemerintah Johor melalui Perjanjian Setia 1855 dan Perjanjian Pahang-Johor 1861.

Jawatan Temenggung Johor tidak lagi wujud pada tahun 1868 apabila Temenggung Johor terakhir, Temenggung Tun Abu Bakar telah ditabalkan sebagai Maharaja Johor dengan gelaran Maharaja Abu Bakar oleh sejarawan Bugis yang juga penasihat Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Ali Haji.

Berikut merupakan senarai Temenggung Johor bermula dari tahun 1757:

Temenggung Tempoh pemerintahan Nota Rujukan
Temenggung Tun Abdul Jamal 1757 – 1802
Temenggung Tun Abdul Hamid 1802 – 1803
Engku Muda Muhammad (de facto) 1803 – 1806
  • Menolak jawatan Temenggung kerana mahukan jawatan Yang Dipertuan Muda tetapi ditolak oleh Sultan Mahmud Shah III
  • Berpesan kepada anakanda saudaranya, Tun Abdul Rahman supaya menjaga negeri Johor dan jangan menyerahkan negeri Johor kepada pihak lain
Temenggung Tun Abdul Rahman 1806 – 8 Disember 1825
Tun Haji Abdullah (de facto) 8 Disember 1825 – 19 Ogos 1841
  • Tidak pernah ditabalkan secara rasmi sebagai Temenggung Johor
Temenggung Tun Daeng Ibrahim 19 Ogos 1841 – 31 Januari 1862
  • Menjadi Pemerintah Johor secara rasmi selepas menandatangani Perjanjian Setia 1855
  • Diiktiraf sebagai Pemerintah Johor yang sah di sisi adat-istiadat Melayu oleh Bendahara Tun Mutahir melalui Perjanjian Pahang-Johor 1861
Temenggung Tun Abu Bakar 31 Januari 1862 – 30 Jun 1868
  • Menjadi Maharaja Johor pada tahun 1868 dan kemudian menjadi Sultan Johor pada tahun 1886