Temenggung Abdul Rahman

Temenggung Tun Abdul Rahman
Dato' Temenggung Seri Maharaja
Temenggung Johor
Pemerintahan1806 – 8 Disember 1825
Pertabalan1806 (ditabalkan oleh Sultan Mahmud Riayat Shah III)
Didahului olehEngku Muda Muhammad (menolak jawatan Temenggung kerana mahukan jawatan Yang Dipertuan Muda tetapi ditolak oleh Sultan Mahmud Riayat Shah III)
Diikuti olehTun Haji Abdullah (tidak pernah ditabalkan secara rasmi)
KeputeraanTun Abdul Rahman ibni Temenggung Tun Abdul Hamid
1755
Kesultanan Johor Lama
Kemangkatan8 Disember 1825(1825-12-08) (umur 69–70)
Istana Lama, Teluk Belanga, Singapura, Syarikat Hindia Timur Inggeris
PemakamanMakam Diraja Johor Teluk Belanga, Teluk Belanga, Singapura
Pasangan1. Inche Yah binti Moffar
2. Inche Engku Raja Wuk binti Raja Sulaiman
Anakanda1. Inche Wan Muhammad Said
2. Inche Wan Umar
3. Tun Haji Abdullah
4. Temenggung Tun Daeng Ibrahim
5. Inche Engku Puan Sulung
6. Inche Wan Amina
7. Inche Wan Aisha
8. Inche Engku Puan Aisha
9. Inche Engku Puan Andak
10. Inche Engku Teh
WangsaWangsa Temenggung
AyahandaTemenggung Tun Abdul Hamid ibni Temenggung Tun Abdul Jamal
BondaEngku Inche Khamis
AgamaSunni Islam

Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Abdul Rahman ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Abdul Hamid (17558 Disember 1825) ialah Temenggung Johor dari tahun 1806 hingga tahun 1825. Beliau telah ditabalkan oleh Sultan Mahmud Riayat Shah III di Istana Lingga dan dikurniakan negeri Johor, pulau Singapura dan pulau-pulau di sekitarnya sebagai kawasan pemakanan beliau (kawasan pembesar mengutip cukai). Pada tahun 1811, beliau bersama keluarga dan pengikut beliau telah berpindah dari Bulang (yang terletak di Kepulauan Riau) ke Singapura untuk menjadikan Singapura sebagai tempat persemayaman dan pusat pemerintahan beliau. Beliau juga boleh dianggap sebagai wakil pemerintah Kesultanan Johor Lama yang memerintah negeri Johor dan pulau Singapura.

Pada tahun 1819, beliau telah menerima kedatangan Sir Thomas Stamford Raffles di Singapura. Apabila Raffles mengetahui tentang krisis pewarisan takhta Kesultanan Johor Lama daripada beliau, Raffles telah memujuk beliau untuk menjemput anakanda sulung Sultan Mahmud Riayat Shah III, Tengku Hussein ke Singapura bagi melantik baginda sebagai Sultan Johor. Raffles juga telah memujuk beliau supaya membenarkan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) untuk membina loji (pejabat syarikat perdagangan yang dibina berkubu) di Singapura. Beliau bersetuju dengan pujukan Raffles lalu Perjanjian Sementara 30 Januari 1819 telah ditandatangani oleh mereka. Selepas itu, apabila Tengku Hussein telah dibawa ke Singapura, baginda telah diangkat menjadi Sultan Johor dengan gelaran Sultan Hussein Muhammad Shah melalui Perjanjian 6 Februari 1819 yang telah mengesahkan Perjanjian Sementara 30 Januari 1819. Namun, sebagai balasan untuk pelantikan tersebut, pelabuhan Singapura telah dikuasai oleh SHTI dan tertakluk di bawah undang-undang SHTI tetapi beliau boleh menerima separuh daripada cukai perahu Bumiputera.

Empat tahun kemudian, Raffles telah membuat Perjanjian 7 Jun 1823 dengan beliau dan Sultan Hussein Muhammad Shah yang membolehkan SHTI untuk berkuasa penuh ke atas seluruh pulau Singapura dan pulau-pulau di sekitarnya kecuali kawasan kediaman beliau (Teluk Belanga) dan baginda (Kampung Gelam). Beliau dan baginda juga tidak berhak untuk menerima cukai daripada tongkang Cina. Sebagai ganti rugi untuk kehilangan kuasa memerintah dan menerima cukai, SHTI telah menaikkan elaun bulanan beliau dan baginda. Pada bulan November 1823, Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar telah menabalkan semula adinda Sultan Hussein Muhammad Shah, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor-Pahang bersama alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama selepas alat tersebut berjaya diambil secara paksa daripada simpanan balu Sultan Mahmud Riayat Shah III yang juga saudara perempuan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar, Engku Puteri Raja Hamidah, dengan bantuan Belanda. Dengan kejayaan menobatkan pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu yang lain telah membuat keputusan untuk mengiktiraf baginda sebagai Sultan Johor-Pahang yang sah dan mereka memilih untuk bertuankan baginda.

Selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani pada 17 Mac 1824, negeri Johor dan pulau Singapura telah menjadi wilayah pengaruh SHTI. Residen Inggeris di Singapura ke-2, Dr. John Crawfurd telah menahan elaun bulanan beliau dan Sultan Hussein Muhammad Shah selama tiga bulan dengan alasan bahawa SHTI mempunyai masalah kewangan. Ini menyebabkan beliau dan baginda mengalami kesempitan wang sehingga mereka terpaksa berhutang untuk menyara tanggungan mereka. Apabila Crawfurd melihat masalah kewangan yang terpaksa dihadapi oleh beliau dan baginda, Crawfurd telah mengambil kesempatan dengan menawarkan kepada mereka agar pulau Singapura dan pulau-pulau di sekitarnya diserahkan kepada SHTI dan mereka akan dibayar wang pampasan yang tinggi dan kekal dibayar elaun bulanan seperti sebelumnya. Bukan itu sahaja, mereka juga akan dibayar wang tambahan sekiranya mereka ingin berpindah keluar dari Singapura. Mereka yang berada dalam kesusahan terpaksa bersetuju dengan tawaran Crawfurd lalu mereka menandatangani Perjanjian 2 Ogos 1824 dengan Crawfurd. Dengan termeterainya perjanjian tersebut, mereka telah menyerahkan kedaulatan Singapura kepada SHTI dan Kesultanan Johor Lama telah kehilangan Singapura untuk selama-lamanya. Namun, mereka masih dibenarkan untuk bersemayam di Singapura.

Tindakan beliau dan Sultan Hussein Muhammad Shah menyerahkan Singapura kepada SHTI melalui Perjanjian 2 Ogos 1824 telah melanggar adat-istiadat Melayu kerana baginda bukan Sultan Johor yang sah disebabkan oleh pertabalan baginda yang telah membelakangkan adat-istiadat Melayu apabila baginda ditabalkan tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama. Memandangkan baginda bukan Sultan Johor yang sah, baginda sebenarnya tidak mempunyai hak ke atas Singapura, apatah lagi menyerahkan Singapura kepada mana-mana pihak. Bendahara Tun Ali telah menunjukkan bantahan terhadap tindakan penyerahan Singapura tersebut dengan menumpahkan taat setia kepada Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan tidak mahu merasmikan pertabalan anakanda beliau, Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Temenggung Johor selagi Temenggung Tun Daeng Ibrahim tidak mahu bertuankan Sultan Johor yang sebenar dan sah yang bersemayam di Lingga, bukan di Singapura.