Sultan Abu Bakar ibni Temenggung Daeng Ibrahim

Sultan Abu Bakar
Sultan Johor
Pemerintahan13 Februari 1886 – 4 Jun 1895
Kemahkotaan29 Julai 1886
Didahului olehDirinya sendiri (sebagai Maharaja Johor)
Diikuti olehSultan Ibrahim Al-Masyhur
Menteri BesarJaafar Muhammad
Maharaja Johor
Pemerintahan30 Jun 1868 – 13 Februari 1886
Didahului olehDirinya sendiri (sebagai Temenggung Johor)
Diikuti olehDirinya sendiri (sebagai Sultan Johor)
Pemangku MenteriJaafar Muhammad
Temenggung Johor
(dan Pemerintah Johor)
Pemerintahan31 Januari 1862 – 30 Jun 1868
Didahului olehTemenggung Tun Daeng Ibrahim
Diikuti olehDirinya sendiri (sebagai Maharaja Johor)
Pemangku MenteriJaafar Muhammad
KeputeraanTun Abu Bakar ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim
(1833-02-03)3 Februari 1833
Istana Lama, Teluk Belanga, Singapura, Negeri-negeri Selat
Kemangkatan4 Jun 1895(1895-06-04) (umur 62)
The Bailey's Hotel, South Kensington, London, England, United Kingdom
Pemakaman7 September 1895
Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor (kini menjadi negeri dalam Malaysia)
Pasangan1. Wan Chik binti Muhammad Tahir
2. Zubaidah binti Abdullah (née Cecilia Catharina Lange)
3. Fatimah binti Abdullah (née Wong Ah Gew)
4. Khadijah Khanum
Anakanda1. Sultan Ibrahim Al-Masyhur
2. Tunku Mariam (Tengku Ampuan Pahang)
3. Tunku Besar Putri
4. Tunku Azizah
5. Tunku Fatimah
WangsaWangsa Temenggung
AyahandaTemenggung Tun Daeng Ibrahim
BondaCik' Ngah
AgamaSunni Islam
Gaya bagi
Sultan Abu Bakar
Rujukan gayaDuli Yang Maha Mulia
Gaya percakapanDuli Tuanku
Gaya alternatifTuanku

Sultan Sir Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim GCMG KCSI (3 Februari 1833 – 4 Jun 1895) ialah Sultan Johor Moden pertama dari tahun 1886 hingga tahun 1895. Sebelum baginda menjadi Sultan Johor, baginda merupakan Temenggung dan Pemerintah Johor (kecuali daerah Kesang) dari tahun 1862 hingga tahun 1868 dan selepas itu baginda menjadi Maharaja Johor dari tahun 1868 hingga tahun 1886. Semasa tempoh pemerintahan baginda sebagai Maharaja Johor, daerah Kesang kembali menjadi sebahagian daripada negeri Johor pada tahun 1879.

Sultan Abu Bakar juga dikenali sebagai "Bapa Johor Moden" atau "Bapa Pemodenan Johor" kerana baginda bertanggungjawab dalam pembangunan dan pemodenan Johor pada abad ke-19. Baginda memperkenalkan dasar-dasar dan memberikan bantuan kepada usahawan Cina bagi merangsang pertumbuhan ekonomi pertanian negeri Johor yang dimulakan oleh para pendatang Cina dari selatan China pada tahun 1840-an. Baginda juga bertanggungjawab dalam pembangunan infrastruktur, sistem pentadbiran, angkatan tentera dan perkhidmatan awam Johor yang kesemuanya dilakukan mengikut model Barat.

Sultan Abu Bakar terkenal dengan kemahiran diplomatiknya. Pihak British dan raja-raja Melayu sering mendapatkan nasihat baginda dalam membuat keputusan penting. Baginda juga seorang pengembara tegar dan menjadi pemerintah Melayu pertama yang berkunjung ke Eropah semasa kunjungan pertamanya ke England pada tahun 1866. Secara khusus, Sultan Abu Bakar menjadi sahabat karib Ratu Victoria pada tahun-tahun terakhir hidupnya. Persahabatan Sultan Abu Bakar dengan Ratu Victoria memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan antara Johor dengan Britain dan menjadikan Johor satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang mengekalkan autonomi dalam urusan dalamannya pada akhir abad ke-19 ketika British berusaha untuk menguasai negeri-negeri Melayu dengan meletakkan seorang Residen British di negeri-negeri tersebut. Baginda juga seorang Anglofilia di mana banyak tabiat dan keputusan peribadinya berpandukan idea dan cita rasa Eropah.