Yang Dipertuan Muda Riau
| Yang Dipertuan Muda Riau | |
|---|---|
| يڠ دڤرتوان مودا رياو (Jawi) | |
Wilayah/Negeri | |
Bendera peribadi | |
Yang Dipertuan Muda terakhir Raja Muhammad Yusuf 7 November 1858 – 17 Julai 1899 | |
| Butiran | |
| Penyandang pertama | Opu Daeng Marewah |
| Penyandang terakhir | Raja Muhammad Yusuf |
| Pembentukan | 4 Oktober 1722 |
| Pemansuhan | 17 Julai 1899 |
Yang Dipertuan Muda Riau (Jawi: يڠ دڤرتوان مودا رياو), atau Yamtuan Muda Riau atau Raja Muda Riau, ialah jawatan warisan dan pembesar utama Kesultanan Johor Lama dan Kesultanan Riau-Lingga. Jawatan ini dikhaskan untuk Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara dan waris-warisnya oleh Sultan Johor ke-12, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada tahun 1722 selepas mereka membantu baginda mengalahkan Sultan Johor ke-11, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (atau lebih dikenali dengan nama Raja Kechil) dan mengembalikan takhta Kesultanan Johor Lama kepada baginda. Yang Dipertuan Muda Riau juga memerintah Kepulauan Riau sebagai wilayah pegangannya. Yang Dipertuan Muda Riau pertama ialah Opu Daeng Marewah.
Menurut Temenggung Johor, Temenggung Tun Abdul Rahman dalam perbualannya dengan Sir Thomas Stamford Raffles pada tahun 1819, Yang Dipertuan Muda Riau berada di kedudukan kedua selepas Bendahara Johor (yang juga Raja Bendahara Pahang) dan sebelum Temenggung Johor dalam hierarki pembesar utama Kesultanan Johor Lama. Namun, Yang Dipertuan Muda Riau dilihat lebih berkuasa daripada Bendahara Johor apabila beliau bertindak seperti Bendahara Johor atau wakil utama Sultan Johor dalam urusan seperti menabalkan Sultan baru, menjadi Pemangku Sultan apabila Sultan masih kecil dan mewakili Kesultanan dalam rundingan dan perjanjian dengan kuasa asing seperti British dan Belanda. Tindakan Yang Dipertuan Muda Riau telah menimbulkan kemarahan pembesar utama Melayu seperti Bendahara Johor dan Temenggung Johor kerana mereka merasakan bahawa kuasa mereka telah dirampas oleh Bugis dan urusan pemerintahan Kesultanan Johor Lama telah dikuasai oleh Bugis.
Selepas Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830 melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu, jawatan Yang Dipertuan Muda Riau kekal dalam Kesultanan Riau-Lingga. Kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau dikukuhkan lagi dengan status barunya sebagai pentadbir utama Riau dan pembesar tertinggi yang mempunyai peranan seperti Bendahara atau Mangkubumi. Jawatan Yang Dipertuan Muda Riau dimansuhkan pada tahun 1899 selepas kemangkatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-10, Raja Muhammad Yusuf kerana jawatan ini disatukan dengan jawatan Sultan Riau-Lingga yang pada ketika itu sedang disandang oleh Sultan Riau-Lingga ke-5 dan terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah yang merupakan anakanda Raja Muhammad Yusuf dan isterinya, Tengku Embung Fatimah binti Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah.