Timur Dekat purba
| Timur Dekat purba |
|---|
Timur Dekat purba atau Asia Barat purba merupakan tempat bermulanya pelbagai buaian tamadun buaian tamadun, merangkumi Mesopotamia, Mesir, Iran (atau Parsi), Anatolia dan Dataran Tinggi Armenia, Levant, dan Semenanjung Arab. Oleh itu, bidang kajian Timur Dekat purba dan arkeologi Timur Dekat merupakan antara yang paling penting dalam penyelidikan sejarah purba. Dalam sejarah, istilah Timur Dekat merujuk kepada kawasan yang meliputi pusat Asia Barat, berfokus pada tanah antara Yunani dan Mesir di barat dan Iran di timur. Oleh itu, ia sebahagian besarnya sepadan dengan Timur Tengah dalam konsep geopolitik moden.
Sejarah Timur Dekat purba bermula dengan kebangkitan Sumer pada alaf ke-4 SM, namun tarikh tamatnya masih lagi dibahaskan di kalangan sarjana; istilah ini merangkumi perkembangan wilayah pada Zaman Gangsa dan Zaman Besi, dan dianggap berakhir sama ada dengan penubuhan Empayar Achaemenid pada abad ke-6 SM, penubuhan Empayar Macedonia pada abad ke-4 SM, atau permulaan penaklukan-penaklukan awal Muslim pada abad ke-7 M.
Di dalam Timur Dekat purbalah manusia mula bertani sepanjang tahun secara intensif, yang membawa kepada kemunculan penempatan bandar yang terawal dan perkembangan banyak institusi tamadun, seperti susun lapis masyarakat, kerajaan berpusat dan empayar, serta agama teratur (lihat: agama Timur Dekat purba) dan peperangan teratur. Ia juga menyaksikan penciptaan sistem tulisan pertama, huruf-huruf pertama (iaitu abjad), mata wang pertama, dan kanun undang-undang pertama, yang semuanya merupakan kemajuan besar yang menjadi asas bagi astronomi dan matematik, serta penciptaan roda.
Dalam tempoh ini, masyarakat di rantau ini yang sebelum ini tidak mempunyai kewarganegaraan sebahagian besarnya beralih kepada pembentukan negara, banyak daripadanya secara beransur-ansur mengilhakkan wilayah tamadun-tamadun jiran. Proses ini berterusan sehingga seluruh Timur Dekat purba disatukan di bawah empayar militaristik yang muncul dari tanah mereka sendiri untuk menakluk dan menyerap pelbagai budaya di bawah pemerintahan kerajaan peringkat tertinggi.