Sheila Majid
Sheila Majid | |
|---|---|
Sheila pada Ogos 2015. | |
| Kelahiran | Shaheila binti Abdul Majid 3 Januari 1965 |
| Pendidikan | Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) |
| Pekerjaan |
|
| Tahun aktif | 1984–kini |
| Pasangan |
|
| Anak-anak | 4 (termasuk Kayda Aziz) |
| Kerjaya muzik | |
| Genre | Jazz, R&B |
| Alat muzik | Vokal |
| Diskografi | Lihat: Sheila Majid discography (en) |
| Syarikat rakaman | Titra Industries Roslan Aziz Productions (RAP) EMI Music Malaysia Warner Music Malaysia |
| Kegiatan berkaitan | Zainal Abidin, Afdlin Shauki, Zubir Ali, Johan Nawawi, Amir Yussof, Nora, Azlina Aziz, Liza Aziz, KRU, Poetic Ammo, Harvey Malaiholo, Chandra, Karen Kong, Jaclyn Victor |
| Laman web rasmi | www |
Yang Hormat Dato' Shaheila Abdul Majid (3 Januari 1965) yang dikenali sebagai Sheila Majid ialah seorang penyanyi wanita Malaysia. Dilahirkan di Kuala Lumpur, bakatnya dikesan oleh penerbit muzik yang tertarik dengan kelunakan suaranya, lantas mempelawa beliau menghadiri ujibakat, kemudian menerima kontrak rakaman pada 1982. Sheila menandatangani kontrak bersama Titra Industries dan muncul bersama album pertama, Dimensi Baru pada 1985 dengan lagu "Pengemis Muda" dikeluarkan sebagai single pertama.
Selepas menandatangani kontrak rakaman bersama EMI Music Malaysia, beliau muncul dengan album kedua, Emosi (1986) yang mana ia berjaya menembusi pasaran muzik Indonesia. Lagu-lagu seperti "Sinaran" dan "Antara Anyer dan Jakarta" dikeluarkan sebagai single utama dan berjaya menjulang nama Sheila sekaligus menjadi antara singlenya paling berjaya pada 1980-an serta melayakkan beliau memenangi Anugerah BASF sebagai Artis R&B Wanita Terbaik pada 1987. Sheila kemudian menyertai Roslan Aziz Productions (RAP) sebagai salah seorang artis rakamannya dan pada 1992, beliau bersama teman-teman seperjuangan Zainal Abidin, Afdlin Shauki, Zubir Ali, Azman Warren dan Amir Yussof membuat persembahan di konsert paling berjaya, Konsert Ikhlas 1992 di bawah pimpinan penerbit rakaman, Roslan Aziz.
Antara pencapaian peribadi dalam kerjaya beliau ialah menjadi artis Malaysia pertama yang berjaya di Jepun, dan mengadakan konsert yang telah habis dijual di Royal Theater di West End London pada 1996. Beliau juga menjadi penyanyi Malaysia pertama yang merakamkan sebuah kaset single, serta merupakan artis tempatan pertama yang membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Sheila turut berjinak-jinak dalam bidang lakonan dengan membintangi filem-filem seperti Ali Setan (1985) dan Sinaran (2015). Dikenali oleh media sebagai Ratu Jazz Malaysia, Sheila telah memukau jutaan peminat di rantau Asia dengan "suaranya yang lunak dan memiliki repertoir irama pop, jaz dan R&B kontemporari yang lebih besar". Selain itu, beliau juga ialah antara artis yang menerima bayaran tertinggi dan termahal bagi suatu undangan nyanyian.