Maulidur Rasul

Maulidur Rasul
Maulud Nabi Muhammad
مولد الرسول
مولود نبي محمد
Juga dikenali sebagai
Eid al-Mawlid an-Nabawī (المولد النبوي), Maulid
Diraikan oleh/di
Pengikut Ahli Sunah Waljamaah, Syiah dan cabang dan mazhab Islam yang lain kecuali sedikit (Wahabi/Salafi dll.)
JenisIslam
KepentinganUlang tahun keputeraan Muhammad
Upacaraberpuasa, perarakan awam, nyanyian keagamaan, perjumpaan keluarga dan masyarakat, perhiasan jalan dan rumah
Tarikh12 Rabiulawal
KekerapanTahunan qamari (setiap 12 bulan qamari)

Maulidur Rasul (Jawi: مولد الرسول) atau Maulud Nabi Muhammad (مولود نبي محمد) ialah hari keputeraan Muhammad, Nabi dan Rasul yang terakhir menurut Islam. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiulawal (bulan ketiga) dalam takwim Hijrah, atau dalam takwim Masihi, Isnin, 20 April 571 M. Tapak keputeraan baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Muhammad dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.

Sejarah Maulidur Rasul bermula sejak zaman awal Islam, ketika sebilangan tabi'in mula mengadakan penganjuran nyanyian syair dan lagu terhadap Rasulullah. Penguasa Islam pertama yang diduga menyambut Maulidur Rasul secara rasmi ialah Muzaffereddin Gökböri (630 H/1233 M). Pihak Uthmaniyah mengisytiharnya sebagai sambutan rasmi pada 1588, dikenali sebagai Mevlid Kandil.

Penyertaan dalam perayaan ini umumnya dipandang sebagai ekspresi rasa keimanan dan kebangkitan keagamaan bagi para penganutnya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul. Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Sebahagian besar warga Islam mengiktiraf sambutan Maulidur Rasul; tetapi, dengan perkembangan aliran konservatif seperti Wahabi-Salaf (Timur Tengah), Deobandi dan Ahl-i Hadith (Asia Selatan), sambutan Maulidur Rasul mula mendapat penentangan kerana disifatkan sebagai bidaah. Maulidur Rasul diiktiraf sebagai hari cuti di kebanyakan negara Islam, dengan Arab Saudi dan Qatar terkecuali. Beberapa negara bukan Islam dengan populasi Muslim ketara seperti India juga mengiktirafnya sebagai hari cuti.