Erra Fazira

Erra Fazira
اررا فازيرا
Erra ditemuramah dalam rancangan MeleTOP di Astro Ria pada 23 Jun 2015.
Kelahiran
Fazira binti Wan Chek

(1974-02-09) 9 Februari 1974
PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PekerjaanPeragawati, penyanyi, pelakon, pengacara, penerbit, penyampai radio
Tahun aktif1992—kini
Karya
PasanganDatuk Yusry Abdul Halim (k. 2003; c. 2006)
YM Engku Emran Engku Zainal Abidin (k. 2007; c. 2014)
Anak-anakEngku Aleesya
Ibu bapa
  • Wan Chek (bapa)
  • Azizah Zaik (ibu)
SaudaraWan Oppa
Kerjaya muzik
Genre
Alat muzik
  • Vokal
DiskografiLihat: Diskografi Erra Fazira
Syarikat rakamanSony Music Malaysia

Fazira binti Wan Chek (lahir 9 Februari 1974) atau lebih dikenali sebagai Erra Fazira ialah seorang peragawati, penyanyi, pelakon, pengacara dan penerbit wanita Malaysia. Dilahirkan dan dibesarkan di Rawang, Selangor, Erra memulakan kerjaya seni pada usia 17 tahun dengan menjadi penyanyi di persembahan pentas dibawah bimbingan rakan ibunya, penyanyi Dayangku Intan. Bermula dari situ, beliau diberi peluang muncul di televisyen buat pertama kali pada tahun 1991 dengan mengacarakan rancangan muzikal hari raya bersama artis-artis veteran, Variasi Aidilfitri.

Beliau mula mendapat perhatian secara meluas pada 1992 apabila menyertai pertandingan Ratu Cantik Miss Malaysia World 1992 dan dinobatkan sebagai pemenang. Sejak itu, beliau mula diintai oleh ramai penerbit lebih-lebih lagi apabila wajahnya banyak muncul di pentas peragaan dan televisyen. Pada tahun 1993, Erra dipilih untuk membintangi filem arahan Datuk Yusof Haslam berjudul Sembilu di samping pelakon dan penyanyi, Awie dan Ziana Zain. Tidak lama selepas penggambaran, Erra merakamkan album EP pertamanya yang menggunakan namanya sebagai judul album dan didahului dengan single sulungnya "Cinta Abadi" pada tahun 1994. Pada tahun yang sama, beliau melancarkan kerjaya lakonannya dengan lakaran kejayaan apabila filem sulungnya itu mencatat kutipan pecah panggung, sejak itu beliau diberi jolokan sebagai "Primadona Filem Melayu Alaf Baru" sejak 1994 hingga kini apabila deretan filem-filem lakonannya selepas itu turut mencatat kejayaan, suatu pencapaian yang sukar dicapai oleh mana-mana pelakon wanita tempatan selepasnya.

Erra telah muncul dalam beberapa filem terkenal termasuk Gerak Khas The Movie (2001), Janji Diana (2004), KL Menjerit 1 (2005), Cuci (2007) dan Polis Evo 2 (2018) dengan kutipan pecah panggung keseluruhan filemnya sudahpun mencecah RM100 juta. Menerusi dua filem lakonannya, Soal Hati (2000) dan Hingga Hujung Nyawa (2004), beliau telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia. Di dalam kerjaya muziknya, Erra telah menerbitkan sebanyak 6 album studio, 1 album EP serta beberapa album runut bunyi dan album himpunan. Sepanjang kerjayanya, Erra telah memenangi pelbagai anugerah di dalam kerjaya muzik, televisyen dan filem termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah Skrin. Selain itu, beliau juga ialah antara artis yang menerima bayaran tertinggi dan termahal bagi suatu undangan nyanyian.