Senarai lagu yang dirakamkan oleh Erra Fazira
Penyanyi wanita Malaysia, Erra Fazira telah merakamkan lagu untuk enam album studio, satu album EP dan sejumlah kolaborasi. Beliau menandatangani kontrak rakaman bersama Polygram Records pada tahun 1994 dan merakamkan EP sulung yang mengambil namanya sebagai judul album, yang mengandungi 5 lagu termasuk "Cinta Abadi" yang dikeluarkan sebagai single pengenalan. Album studio pertamanya, Aku dan Dia dikeluarkan pada April 1995. Ia memuatkan single "Yang Terindah Hanya Sementara" yang berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 11 bagi kategori Balada, namun terkandas. Erra turut menyumbangkan lirik untuk lagu yang bertajuk sama.
Album ketiga dan terakhir Erra bersama Polygram, 2.5 Sayang dikeluarkan pada Oktober 1996. Single utamanya, "Pertemuan" yang mana liriknya ditulis sendiri oleh Erra bersama Ram Ghazali. Beliau menyertai Sony Music dan muncul bersama album keempatnya yang juga album pertamanya bersama Sony, Kini (1999). Single pertama album ini, "Jendela Hati" dicalonkan bagi kategori Pop Rock di Anugerah Juara Lagu ke-14 manakala single kedua, "Teman Bicara" berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 15, juga bagi kategori Balada, namun terkandas. Menerusi album ini, Erra menulis lirik untuk lagu "Kata Hati". Album keempat beliau, Sampai Bertemu dikeluarkan pada April 2002. Dua lagu telah dikeluarkan sebagai single, iaitu runut tajuk dan "Lepaskankah". Beliau juga berduet bersama penyanyi Indonesia, Rio Febrian menerusi lagu "Nada Kasih". Pada Januari 2004, beliau melancarkan album kelimanya, Kini Kembali dengan dua single yang dikeluarkan, iaitu "Hanya di Mata" dan sebuah lagu duet bersama bekas suaminya, Yusry Abdul Halim dari kumpulan KRU.
Pada Jun 2006, album keenam dan terakhir Erra, Ya Atau Tidak dikeluarkan. Salah satu lagu dalam album ini, "Wang Kite Gale" dirakamkan dalam bahasa Bangkahulu. Beliau melancarkan single "Menangkah Cinta" hasil nukilan sepenuhnya oleh Hafiz Hamidun. Ia menjadi rakaman rasmi pertamanya dalam tempoh 13 tahun selepas album terakhirnya, Ya Atau Tidak. Beliau turut merakamkan lagu untuk runut bunyi: "Pasrah" dan "Soal Hati" untuk filem bertajuk sama lakonannya, "Ucapkanlah" duet bersama Yusry untuk filem Mr. Cinderella dan "Tangis Dalam Gerimis" untuk Cinta Kolestrol.