Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah
| Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah | |
|---|---|
| Sultan Riau-Lingga (Sultan de jure Johor-Pahang) | |
| Pemerintahan | 1835 – 7 Oktober 1857 |
| Didahului oleh | Sultan Muhammad II Muazzam Shah (masih dianggap sebagai Sultan Johor-Pahang) |
| Diikuti oleh | Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah |
| Bendahara de jure (Raja Bendahara Pahang) | Lihat senarai
|
| Yang Dipertuan Muda | Lihat senarai
|
| Keputeraan | Tengku Mahmud ibni Sultan Muhammad II Muazzam Shah 1823 |
| Kemangkatan | 10 Julai 1864 Kuala Pahang, Pekan, Pahang |
| Pemakaman | 10 Julai 1864 Kampung Marhum, Kuala Pahang, Pekan, Pahang |
| Pasangan | 1. Tengku Maimunah binti Tengku Muhammad Hitam ibni Sultan Hussein Muhammad Shah 2. Inche Sajah 3. Raja Maimunah binti Yang Dipertuan Muda Raja Abdul Rahman 4. Inche Engku Ngah binti Bendahara Tun Mutahir 5. Puteri Sultan Omar Riayat Shah |
| Anakanda | 1. Tengku Usman 2. Tengku Tengah Muhammad Yusuf 3. Tengku Embung Fatimah |
| Wangsa | Wangsa Bendahara |
| Ayahanda | Sultan Muhammad II Muazzam Shah |
| Bonda | Tengku Kulsum Puteh binti Sultan Ahmad Shah |
| Agama | Sunni Islam |
Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah ibni Sultan Muhammad II Muazzam Shah (1823 – 10 Julai 1864) ialah Sultan Riau-Lingga ke-3 dari tahun 1835 hingga tahun 1857. Namun, baginda masih dianggap sebagai Sultan Johor ke-18 dan Sultan Pahang ke-25 oleh Bendahara Tun Ali dan Bendahara Tun Mutahir serta para pembesar Melayu Johor-Pahang yang lain. Disebabkan baginda menaiki takhta Kesultanan Riau-Lingga pada usia yang sangat muda, urusan pemerintahan negeri telah dipangku oleh ayahandanya, Sultan Muhammad II Muazzam Shah.
Selepas ayahandanya mangkat pada tahun 1841, barulah baginda berkuasa penuh ke atas urusan pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga. Sama seperti ayahandanya, baginda juga ingin mengembalikan pemerintahan Kesultanan Johor Lama mengikut adat-istiadat Melayu. Malangnya, rancangan baginda tidak dipersetujui oleh Yang Dipertuan Muda Raja Ali dan para pembesar Bugis yang lain. Baginda kemudian telah diturunkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda pada tahun 1857.
Selepas baginda disingkirkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga, baginda berangkat ke Pahang untuk berjumpa dengan Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Mutahir bagi memujuk beliau untuk menabalkan baginda sebagai Sultan Pahang tetapi Bendahara Tun Mutahir terpaksa menolak permintaan baginda kerana Pahang bukan milik baginda memandangkan Pahang telah dikurniakan kepada leluhur beliau, Bendahara Tun Abdul Majid oleh leluhur baginda, Sultan Mahmud Riayat Shah III pada sekitar tahun 1770-an.
Setelah itu, apabila baginda mengetahui rancangan adinda Bendahara Tun Mutahir, Tun Ahmad untuk menawan Pahang, baginda menyokong Tun Ahmad dengan harapan agar Tun Ahmad akan menabalkan baginda sebagai Sultan Pahang selepas Tun Ahmad berjaya merampas kuasa daripada Bendahara Tun Mutahir. Baginda juga meminta ayahanda saudaranya yang juga Sultan Terengganu, Sultan Omar Riayat Shah untuk membantu Tun Ahmad dalam Perang Saudara Pahang.
Selepas Perang Saudara Pahang berakhir dengan kemenangan Tun Ahmad, Tun Ahmad ditabalkan sebagai Raja Bendahara Pahang pada tahun 1863. Pada tahun 1864, baginda memujuk Bendahara Tun Ahmad untuk membantu baginda mendapatkan kembali takhta Kesultanan Riau-Lingga tetapi Bendahara Tun Ahmad menolak permintaan baginda kerana beliau tidak mahu melibatkan dirinya dan rakyat Pahang dalam peperangan di luar Pahang. Pada tahun yang sama, baginda kemudian mangkat dan dimakamkan di Pahang.