Sultan Hussein Muhammad Shah
| Sultan Hussein Muhammad Shah | |
|---|---|
Cap mohor Sultan Hussein Muhammad Shah | |
| Sultan Johor | |
| Pemerintahan | 6 Februari 1819 – 5 September 1835 |
| Didahului oleh | Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (sebagai Sultan Johor-Pahang) |
| Diikuti oleh | Sultan Ali Iskandar Shah (sebagai Sultan Johor) |
| Keputeraan | Tengku Hussein ibni Sultan Mahmud Riayat Shah III 1776 Tanjung Pinang, Kepulauan Riau |
| Kemangkatan | 5 September 1835 Tengkera, Melaka |
| Pemakaman | 5 September 1835 Masjid Tengkera, Tengkera, Melaka |
| Pasangan | 1. Tun Inche Che' Puan Bulang binti Tun Engku Muhammad bin Temenggung Tun Abdul Jamal 2. Che' Wan Aisha binti Bendahara Tun Koris 3. Cik Wuk binti Sulaiman 4. Tengku Prabu binti Tengku Mahmud ibni Sultan Daud |
| Anakanda | 1. Tengku Muhammad Hitam 2. Tengku Mahmud 3. Tengku Sulaiman 4. Tengku Abdul Jalil 5. Sultan Ali Iskandar Shah 6. Tengku Jaafar 7. Tengku Putri 8. Tengku Tengah Cik Besar 9. Tengku Andak Safriah |
| Wangsa | Wangsa Bendahara |
| Ayahanda | Sultan Mahmud Riayat Shah III |
| Bonda | Inche Makuh binti Daeng Maturang |
| Agama | Sunni Islam |
Sultan Hussein Muhammad Shah ibni Sultan Mahmud Riayat Shah III (1776 – 5 September 1835) ialah Sultan Johor ke-17 dari tahun 1819 hingga tahun 1835. Baginda dilantik sebagai Sultan Johor dengan bantuan daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Temenggung Tun Abdul Rahman selepas mereka menandatangani satu perjanjian pada 6 Februari 1819 di Singapura.
Pertabalan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor pada tahun 1819 telah menyebabkan Kesultanan Johor Lama mempunyai dua orang Sultan pada masa yang sama iaitu baginda yang bersemayam di Singapura dan adindanya, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang bersemayam di Lingga dan telah diangkat terlebih dahulu menjadi Sultan Johor oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar pada tahun 1812. Namun, baginda telah membelakangkan adat-istiadat Melayu apabila baginda ditabalkan tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama lalu menjadikan pertabalannya tidak sah di sisi adat-istiadat Melayu.
Memandangkan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah berjaya ditabalkan semula bersama alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dengan bantuan Belanda pada tahun 1823, maka Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu yang lain telah membuat keputusan untuk mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor yang sah di sisi adat-istiadat Melayu dan memilih untuk bertuankan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah.
Walaupun baginda menjadi Sultan Johor yang bersemayam di Singapura, menurut Gabenor Negeri-Negeri Selat ke-3, Kenneth Murchison, kedudukannya sebagai Sultan Johor tidak pernah diakui oleh negeri-negeri Melayu yang lain dan baginda tidak pernah menikmati apa-apa hasil di Johor dan tidak pernah menjalankan sebarang kegiatan politik di Johor. Baginda memang telah diisytiharkan sebagai Sultan Johor oleh British tetapi itu hanya kerana terdapat muslihat tertentu. Bukan itu sahaja, menurut Gabenor Negeri-Negeri Selat ke-5, William John Butterworth, kedudukannya hanya sekadar boneka yang diangkat oleh Sir Thomas Stamford Raffles untuk mendapatkan hak terhadap Singapura demi kepentingan British.