Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah

Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah
Gambar Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah (duduk di bahagian tengah) bersama para bangsawan Riau-Lingga yang diambil pada tahun 1867
Sultan Riau-Lingga
Pemerintahan7 Oktober 1857 – 17 September 1883
Didahului olehSultan Mahmud IV Muzaffar Shah (masih dianggap sebagai Sultan Johor-Pahang)
Diikuti olehSultan Abdul Rahman II Muazzam Shah
Yang Dipertuan Muda
Lihat senarai
KeputeraanTengku Sulaiman ibni Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah
(tarikh dan tempat kelahiran tidak diketahui)
Kemangkatan17 September 1883
Istana Kota Baru, Daik, Lingga
Pemakaman17 September 1883
Makam Diraja, Bukit Cengkeh, Daik, Lingga
PasanganRaja Perak binti Yang Dipertuan Muda Raja Ali
Anakanda1. Tengku Putri Maimunah
2. Tengku Wuk
3. Tengku Tengah
4. Tengku Andak
5. Tengku Kechil
WangsaWangsa Bendahara
AyahandaSultan Abdul Rahman Muazzam Shah
BondaInche Ayu Buruk
AgamaSunni Islam

Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah ibni Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah ialah Sultan Riau-Lingga ke-4 dari tahun 1857 hingga tahun 1883. Baginda dipilih oleh Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah dengan persetujuan Belanda untuk menggantikan anakanda saudaranya, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah yang telah diturunkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda.

Selepas baginda ditabalkan sebagai Sultan Riau-Lingga, baginda dan Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah telah menandatangani Perjanjian 1 Disember 1857 dengan Belanda di mana antara syarat perjanjian tersebut ialah Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda dan pelantikan Sultan Riau-Lingga, Tengku Besar Riau-Lingga dan Yang Dipertuan Muda Riau perlu mendapat persetujuan Belanda. Melalui perjanjian tersebut, kedaulatan Kesultanan Riau-Lingga telah diserahkan secara rasmi kepada Belanda pada tahun 1857.

Tidak seperti Sultan-Sultan Riau-Lingga sebelum baginda, baginda tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor-Pahang yang sah dan berdaulat oleh Bendahara Tun Mutahir kerana baginda telah memilih untuk bertuankan Belanda dan membelakangkan adat-istiadat Melayu yang diamalkan oleh Kesultanan Johor Lama. Dengan termeterainya Perjanjian 1 Disember 1857, maka usaha Bendahara Tun Mutahir dan ayahandanya, Bendahara Tun Ali serta Sultan-Sultan Riau-Lingga sebelum baginda untuk mengembalikan pemerintahan Kesultanan Johor Lama yang berpandukan adat-istiadat Melayu telah menemui kegagalan.