Tahun Kesedihan
| Sebahagian dari siri mengenai |
| Muhammad |
|---|
|
Dalam sejarah Islam dan sirah nabawiyah, Tahun Kesedihan atau Tahun Dukacita (Arab: عام الحزن; 'Aam al-Huzn) ialah gelaran suatu tahun dalam takwim Islam yang bertepatan dengan tahun ke-10 kenabian, dan 619 atau 620 M. Ia dinamakan sedemikian kerana kedua-dua Abu Talib dan Khadijah binti Khuwailid—bapa saudara dan isteri pertama Muhammad—meninggal dunia pada tahun itu.
Ar-Raheeq Al-Makhtum menyebut bahawa Abu Talib jatuh sakit dan meninggal dunia pada bulan Rejab atau Ramadan. Khadijah pula meninggal dunia selepas itu pada bulan Ramadan.
Dalam Nur-ul-Absar pula, pengarangnya menyebut bahawa tarikh kematian Abu Talib ialah 1 Zulkaedah selepas berakhirnya sekatan ekonomi terhadap orang Islam selama 8 bulan 21 hari. Khadijah pula meninggal dunia beberapa hari kemudian. Boikot para penduduk Makkah telah memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka berdua yang telah tua.
Antara cara Allah memujuk baginda ialah melalui peristiwa Israk dan Mikraj.
Setelah kematian Abu Talib, yang merupakan ketua suku Banu Hashim, Muhammad kehilangan jaminan keamanan dalam sistem kesukuan di Arabia pada waktu itu, dan mulai dikenakan tindakan ganas di Mekah. Dia pergi ke Ta'if untuk meminta pertolongan dan menyeru penduduknya untuk memeluk Agama Islam, tetapi orang-orang Ta'if menolak.
Dalam perjalanan pulang ke Mekah, Muhammad meminta jaminan keselamatan dari beberapa pemimpin suku di Mekah. Muth'im bin Adi, pemimpin puak Banu Naufal, menerima permintaan ini dan mengantar Muhammad ke Mekah dan mengumumkan bahawa Muhammad berada di bawah jaminan puaknya.