Kluster COVID-19 Jemaah Tabligh 2020 di Malaysia
| Tarikh | 27 Februari–1 Mac 2020 |
|---|---|
| Tempat | Masjid Jamek Sri Petaling |
| Lokasi | Kuala Lumpur, Malaysia |
| Jenis | Himpunan agama |
| Hadirin | Sekurang-kurangnya 16,000 orang (anggaran KKM) Hanya 12,500 orang peserta didakwa hadir oleh Pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia |
| Hasil | Menjadi kluster terbesar yang menyumbang kepada gelombang kedua wabak COVID-19 di Malaysia dengan 3,375 kes positif |
| Kematian | 34 |
Perhimpunan agama Jemaah Tabligh yang berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac 2020 di Masjid Jamek Seri Petaling di Sri Petaling, Kuala Lumpur telah menjadi acara perebakan utama COVID-19 dengan lebih daripada 3,300 kes dikaitkan dengan acara tersebut. Menjelang 19 Mei 2020, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa 48% kes COVID-19 di dalam negara (3,347 kes) telah dikaitkan dengan kluster tersebut. Selain itu, hampir 10% yang hadir ialah pelawat dari luar negara, menyebabkan penyebaran COVID-19 ke negara-negara lain di Asia Tenggara. Pada 8 Julai 2020, kluster ini telah diisytihar tamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Walaupun penyebaran COVID-19 melalui kluster ini jauh lebih meluas, himpunan agama Jemaah Tabligh bukanlah kluster yang menyebabkan gelombang jangkitan COVID-19 yang pertama di Malaysia.