Alor Setar
Alor Setar
Loqstaq | |
|---|---|
| Bandaraya Alor Setar | |
| Transkripsi lain | |
| • Tulisan Jawi | الور ستار |
| • Cina | 亚罗士打 Yàluò Shída (Hanyu Pinyin) A-lô-sū-tá (Pe̍h-ōe-jī) |
| • Tamil | அலோர் சேதார் Alōr Cētār (Transliterasi) |
| • Thai | อาโลร์เซอตาร์ Alosoeta (RTGS) เมืองไทร Mueang Sai (RTGS) |
Latar langit pusat bandar raya Rumah kelahiran Mahathir Mohamad Kota Kuala Kedah | |
Mohor | |
| Cogan kata: Bandaraya Berdayahuni 2035 | |
Location of Alor Setar in Kedah | |
| Koordinat: 06°07′06″N 100°22′10″E / 6.11833°N 100.36944°E | |
| Negara | Malaysia |
| Negeri | Kedah |
| Daerah | Kota Setar Pokok Sena |
| Ditubuhakan | 1735 |
| Status perbandaran | 1 Februari 1978 |
| Status bandar raya | 21 Disember 2003 |
| Diasaskan oleh | Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II |
| Pentadbiran | |
| • Datuk Bandar | Yang Berbahagia Dato' Haji Abdul Gafar bin Yahya (sejak 2 Februari 2025) |
| Keluasan | |
| • Bandar raya, ibu negeri dan ibu daerah | 424 km² km2 (257.14 batu persegi) |
| Aras | 75 m (246 ft) |
| Aras tertinggi | 165.5 m (543.0 ft) |
| Penduduk (2020) | |
| • Bandar raya, ibu negeri dan ibu daerah | 417,800 |
| • Kepadatan | 982.00/km2 (2,543.4/batu persegi) |
| • Metro | 839,400 |
| Zon waktu | UTC+8 (MST) |
| • Musim panas (DST) | Tiada |
| Poskod | 05xxx |
| Awal kod panggilan telefeon antarabangsa | +6047 |
| Laman sesawang | mbas.gov.my |
Alor Setar (sebutan dalam loghat tempatan: Loqstaq, Jawi: الور ستار, singkatan: AS) atau juga dikenali sebagai Alor Star pada tahun 2004-2008, adalah ibu negeri bagi negeri Kedah, Malaysia. Ia merupakan bandar pentadbiran dan juga merupakan bandar kedua terbesar di negeri Kedah selepas Sungai Petani, (mengambil alih kedudukan tersebut pada tahun 2010.) Alor Setar juga merupakan bandar penting negeri Kedah, di antara daripada lima bandar utama di negeri itu selain Sungai Petani, Kulim, Jitra dan Kuah.
Bandar raya ini menempatkan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dikenali sebagai Bandar Muadzam Shah dan bandar diraja Kedah iaitu Anak Bukit. Kaum majoriti di bandar raya ini ialah kaum Melayu.
Alor Setar terletak di bahagian utara Semenanjung Malaysia, lebih kurang 400 kilometer dari Kuala Lumpur melalui lebuhraya. Bandar raya ini ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar. Kawasan Alor Setar meliputi tanah seluas 666 km² yang diduduki oleh lebih daripada 400,000 ribu penduduk mengikut bancian tahun 2020.
Sebagai pusat pengangkutan utama di negeri Kedah, Alor Setar dihubungkan dengan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia dengan sebuah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim yang baru siap dibina pada 2006 yang hanya berkhidmat untuk penerbangan domestik tetapi turut menyediakan penerbangan antarabangsa hanya untuk jemaah haji; bandar raya ini juga mempunyai rangkaian perhubungan darat yang baik yang dapat diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan iaitu keluar masuk menerusi plaza-plaza tol Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan dan Kepala Batas; terdapat dua stesen kereta api di Alor Setar iaitu Stesen Kereta Api Alor Setar dan Stesen Kereta Api Anak Bukit di sepanjang Laluan kereta api Pantai Barat. Perkhidmatan ETS juga mempunyai laluan perjalanan ke Alor Setar. Perjalanan ke Pulau Pinang dan Padang Besar hanya mengambil masa 1 jam sahaja melalui keretapi berkelajuan 140–180 km/j ini. Dalam tempoh 4 jam, kereta api sederhana laju ini tiba di Kuala Lumpur dan Gemas. Untuk perkhidmatan bas pula, stesen bas utama di Alor Setar ialah Terminal Bas Shahab Perdana. Alor Setar juga dihubungkan melalui jalan laut, iaitu pengangkutan keluar dari tanah besar ke Pulau Langkawi ialah melalui Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.
Alor Setar merupakan tempat kelahiran YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan yang ketujuh. Ramai juga orang kenamaan Malaysia berasal dari sini.