Yoga

Yoga (Sanskrit: योग yóga, IPA: [joːgə]) ialah disiplin-disiplin fizikal dan mental tradisional yang berasal dari India; matlamat yang dicapai disiplin-disiplin ini; dan antara enam fahaman ortodoks (āstika) dalam falsafah India. Terdapat pelbagai fahaman, amalan dan matlamat Yoga dalam agama-agama Hindu, Buddha, dan Jain.

Antara jenis Yoga yang popular ialah Raja Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, Bhakti Yoga, dan Hatha Yoga. Raja Yoga yang disusun dalam Yogasutras oleh Patanjali ialah antara falsafah Hindu disamping Vedanta dan Samkhya. Banyak lagi kitab Hindu yang membincangkan aspek-aspek Yoga, termasuk Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Hatha Yoga Pradipika, Shiva Samhita dan pelbagai Tantra.

Secara tradisi, amalan Yoga adalah lebih purba daripada kitab-kitab Veda. Golongan intelektual Barat mula menunjuk minat dalam Yoga pada kurun ke-19. Pada asalnya, para pemikir Eropah dan Amerika lebih cendurung dengan aspek falsafah Yoga. Yoga sebagai suatu aktiviti senaman menarik minat masyarakat Barat secara umumnya dalam kurun ke-20 and ke-21.

Perkembangan Yoga di Barat dipelopori oleh Swami Vivekananda di Amerika Syarikat pada 1893. Namun, Vivekananda hanya menumpukan Yoga sebagai aliran falsafah dan pemikiran. Guru-guru Yoga terkemudian dan imigran India ke Amerika mengajar aliran yoga fizikal. Kegiatan ini turut dimasyhurkan semasa berkembangnya budaya tentangan Hippie pada tahun 1960-an. Kini, perkembangan dan amalan Yoga di Barat lebih tertumpu pada aktiviti fizikal semata-mata dengan menyingkirkan unsur-unsur kerohanian.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menetapkan tarikh 21 Jun sebagai "Hari Yoga Antarabangsa" disambut setiap tahun di India dan di seluruh dunia sejak tahun 2015. Pada 1 Disember 2016, UNESCO telah menyenaraikan Yoga sebagai warisan budaya tidak ketara.