Veda

Teks Hindu
Śruti

Smriti


Perkataan 'Veda', berasal daripada perkataan Sanskrit, 'vid' ( bermaksud 'untuk mengetahui') dan ia merujuk kepada seluruh himpunan ilmu esoterik dan rohani mengenai nilai-nilai kerohanian abadi yang ditemui oleh golongan resi (orang-orang alim dan mistik) semasa meditasi. Tradisi Hindu memberikan Veda kedudukan tertinggi dalam kalangan semua sumber ilmu dan teks suci lain. Oleh itu, Veda dianggap sebagai sumber utama dan asas Hinduisme. Semua kitab-kitab lain mendapat inspirasi dan otoritinya daripada Veda. Dalam kata lain, Veda adalah kitab suci agama Hindu yang tertua.

Veda adalah Apauruseya (bukan buatan manusia). Menurut Swami Vivekananda: "Himpunan penulisan ini yang dipanggil sebagai Veda bukanlah kata-kata manusia. Tarikh-tarikhnya tidak pernah ditetapkan, tidak boleh ditetapkan, dan, mengikut kami, Veda adalah abadi'.

Veda juga dinamakan sebagai 'Sruti' yang bermaksud 'sesuatu yang didengar'. Ini kerana, Veda diturunkan daripada generasi ke generasi secara lisan. Masyarakat Hindu purba, menggunakan kaedah lisan untuk pengajaran. Oleh itu, sebenarnya Veda bukan setakat sebuah kitab suci, tetapi himpunan ayat-ayat suci.

Veda atau Sruti juga dianggap sebagai 'ilmu mengenai Tuhan'. Dalam Hinduisme, ilmu mengenai Tuhan adalah tidak terbatas dan abadi. Maka, Veda sebagai ilmu mengenai Tuhan adalah abadi, tidak batasan, dan ia sentiasa wujud di alam semesta ini. Sebahagian ilmu abadi ini ditemui oleh para resi semasa meditasi dan hanya sebahagian kecil sahaja telah direkodkan dalam kitab-kitab suci.

Dengan peredaran masa, ayat-ayat suci ini dikumpul dan disusun kepada empat bahagian yang dikenali sebagai Rig, Sama, Yajur, dan Atharva Veda. Proses penyusunan semula ayat-ayat suci Veda ini dilakukan oleh Krishna Dwaipayana (juga dikenali sebagai Veda Vyasa).

Seperti yang dikatakan oleh Swami Vivekananda, ianya amat sukar untuk menentukan tarikh-tarikh Veda. Tarikh-tarikh yang diberikan oleh pelbagai ilmuwan adalah amat jauh berbeza, daripada 25,000 S.M hingga 1000 S.M. Namun, suatu pendapat umum yang diterima ramai ialah bahawa tamadun Harappa dan Mohenjo Daro (c. 4000 S.M.) merupakan suatu tamadun selepas zaman Veda. Dengan ini, boleh disimpulkan bahawa, Veda yang tertua, iaitu Rig Veda, telah wujud sekitar 10,000 S.M.