Aranyaka

Aranyaka (Sanskrit: आरण्यक, IAST: āraṇyaka) merupakan himpunan teks suci Hindu kuno dalam bahasa Sanskrit. Aranyaka memberi tumpuan kepada makna dan falsafah di sebalik upacara korban. Ia biasanya dianggap sebagai bahagian ketiga dalam Veda, dan merupakan salah satu lapisan dalam struktur berbilang lapisan teks Veda.

Bahagian lain dalam Veda merangkumi Samhita (doa dan nyanyian puji-pujian), Brahmana (huraian dan tafsiran ritual), serta Upanishad (ajaran kerohanian dan falsafah abstrak).

Āraṇyaka berperanan sebagai penghubung antara keritualan dalam Brahmana dan falsafah dalam Upanishad. Namun, sukar untuk dipastikan sama ada ia benar-benar mewakili satu tahap peralihan dalam cara berfikir, memandangkan kandungan Aranyaka dan Upanishad hampir-hampir bercantum antara satu sama lain.

Tradisi Hindu mengaitkan empat Asrama (tahap kehidupan) dengan empat bahagian utama dalam Veda. Seorang brahmacārin (pelajar Veda) diharapkan menghafal Saṁhitā dan memahami penggunaan mantra yang terkandung di dalamnya dalam pelbagai upacara dan ritual. Seorang gṛhastha (ketua keluarga) pula dibimbing oleh Brāhmaṇa dalam melaksanakan pelbagai korban dan upacara. Bagi vānaprasthin (petapa hutan), beliau digalakkan untuk merenungkan ritual sebagai lambang kepada kebenaran falsafah yang lebih tinggi. Manakala saṁnyāsin (pertapa atau rahib) dituntut untuk bermeditasi terhadap kebenaran kerohanian yang paling asas sehingga ia dapat mengalaminya secara langsung.

Hubungan tradisional antara empat āśrama (tahap kehidupan) dengan empat bahagian utama Veda boleh memberikan kita gambaran tentang asas pemikiran dalam Āraṇyaka. Oleh sebab faktor usia tua yang melemahkan tubuh dan kesukaran memperoleh alat-alat serta bahan yang diperlukan untuk melaksanakan ritual Veda di dalam hutan, seseorang vanaprasthin menghadapi kesukaran untuk meneruskan amalan-amalan tersebut.

Tambahan pula, pengalaman hidup yang penuh cabaran dan perubahan telah mengasah kebijaksanaan dan kematangan dirinya, menjadikannya lebih terbuka terhadap renungan falsafah. Namun begitu, keterikatan kepada upacara serta keinginan untuk memperoleh hasil yang dijanjikan masih wujud dalam benaknya, akibat bertahun-tahun terlibat dengan ritual-ritual itu.

Justeru, renungan terhadap pelbagai aspek dan tahap-tahap dalam upacara tersebut sebagai lambang kepada kebenaran sejagat merupakan latihan batin yang paling sesuai bagi dirinya, demi kesejahteraan rohani yang terakhir. Inilah sebenarnya peranan bahagian Aranyaka. Malah, Brihadaranyaka Upanishad yang terkenal itu sendiri bermula dengan bentuk renungan sebegini.

Oleh itu, Aranyaka sering diklasifikasikan sebagai Upasanakanda — iaitu bahagian yang berkaitan dengan amalan renungan atau meditasi — yang berbeza daripada Karmakanda (bahagian ritual seperti Samhita dan Brahmana), dan secara berperingkat mengarah kepada Jnanakanda (bahagian yang berkaitan dengan pengetahuan rohani, iaitu Upanishad).