Temenggung Daeng Ibrahim
| Temenggung Tun Daeng Ibrahim | |
|---|---|
| Dato' Temenggung Seri Maharaja | |
| Pemerintah Johor | |
| Pemerintahan | 10 Mac 1855 – 31 Januari 1862 |
| Pengiktirafan | 10 Mac 1855 (oleh Sultan Ali Iskandar Shah dan Syarikat Hindia Timur Inggeris melalui Perjanjian Setia 1855) Disember 1861 (oleh Bendahara Tun Mutahir melalui Perjanjian Pahang-Johor 1861) |
| Didahului oleh | Sultan Ali Iskandar Shah (sebagai Sultan Johor) |
| Diikuti oleh | Temenggung Tun Abu Bakar (sebagai Temenggung Johor) |
| Menteri | Abdullah bin Tok Muhammad Tahir (dikenali sebagai Encik Long Menteri) |
| Temenggung Johor | |
| Pemerintahan | 19 Ogos 1841 – 31 Januari 1862 |
| Pertabalan | 19 Ogos 1841 (ditabalkan oleh Bendahara Tun Ali dan diiktiraf oleh Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) |
| Didahului oleh | Tun Haji Abdullah (tidak pernah ditabalkan secara rasmi) |
| Diikuti oleh | Temenggung Tun Abu Bakar |
| Keputeraan | Tun Ibrahim Iskandar ibni Temenggung Tun Abdul Rahman 8 Disember 1810 Pulau Bulang, Kepulauan Riau, Kesultanan Johor Lama |
| Kemangkatan | 31 Januari 1862 (umur 51) Istana Lama, Teluk Belanga, Singapura, Negeri-Negeri Selat |
| Pemakaman | 1 Februari 1862 Makam Diraja Johor Teluk Belanga, Teluk Belanga, Singapura |
| Pasangan | 1. Inche Ngah 2. Engku Long Muda 3. Tengku Andak binti Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah 4. Inche Aisha binti Abdullah (Chik Moi) |
| Anakanda | 1. Sultan Abu Bakar 2. Ungku Muhammad 3. Ungku Ibrahim 4. Ungku Abdul Rahman 5. Ungku Abdullah 6. Ungku Abdul Majid 7. Ungku Muhammad Khalid 8. Inche Engku Yam 9. Inche Engku Pah 10. Ungku Zahara 11. Ungku Hawa 12. Ungku Maimuna 13. Ungku Khadija |
| Wangsa | Wangsa Temenggung |
| Ayahanda | Temenggung Tun Abdul Rahman |
| Bonda | Inche Yah |
| Agama | Sunni Islam |
Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Abdul Rahman (8 Disember 1810 – 31 Januari 1862) ialah Temenggung Johor dari tahun 1841 hingga tahun 1862. Pertabalan beliau telah dirasmikan oleh Bendahara Tun Ali dan diiktiraf oleh Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah selaku Sultan Riau-Lingga yang masih dianggap sebagai Sultan Johor-Pahang pada ketika itu. Semasa tahun-tahun awal pemerintahan beliau sebagai Temenggung Johor dari tahun 1841 hingga tahun 1855, beliau telah menguasai negeri Johor dan menguruskan pemerintahan negeri Johor. Sepanjang tempoh tersebut, beliau boleh dianggap sebagai Pemerintah de facto Johor (the de facto ruler of Johor).
Selepas beliau dan Sultan Ali Iskandar Shah menandatangani Perjanjian Setia 1855 untuk menyelesaikan masalah berkenaan pemilikan dan kedaulatan ke atas negeri dan kerajaan Johor, beliau telah memerintah negeri Johor (kecuali daerah Kesang yang telah diserahkan kepada Sultan Ali Iskandar Shah) dari tahun 1855 hingga tahun 1862. Namun, perjanjian tersebut tidak diiktiraf oleh Bendahara Tun Ali kerana ia jelas melanggar adat-istiadat Melayu di mana tanah jajahan dalam Kesultanan Johor Lama termasuk negeri Johor adalah hak milik Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan ia tidak boleh diambil oleh orang lain kecuali melalui cara kurnia. Memandangkan Sultan Ali Iskandar Shah bukan Sultan Johor yang sah di sisi adat-istiadat Melayu, baginda sebenarnya tidak mempunyai hak ke atas negeri Johor.
Namun, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah telah diturunkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda pada tahun 1857 dan pengganti baginda, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah dan Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah telah menandatangani Perjanjian 1 Disember 1857 di mana mereka mengakui ketuanan Belanda ke atas Kesultanan Riau-Lingga. Dengan termeterainya perjanjian tersebut, maka anakanda Bendahara Tun Ali, Bendahara Tun Mutahir terpaksa menerima hakikat bahawa Kesultanan Johor Lama tidak dapat dikembalikan semula dan telah mengisytiharkan bahawa Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah bukan Sultan Johor-Pahang yang sah kerana baginda telah memilih untuk bertuankan Belanda dan membelakangkan adat-istiadat Melayu yang telah diamalkan oleh leluhur baginda.
Apabila kedudukan beliau sebagai Pemerintah Johor tergugat akibat sokongan Sultan Ali Iskandar Shah dan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah terhadap adinda Bendahara Tun Mutahir, Bendahara Tun Ahmad (kemudian bergelar Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah) dalam Perang Saudara Pahang, beliau telah membuat keputusan untuk menyokong Bendahara Tun Mutahir. Untuk menyelamatkan adat-istiadat Melayu semampu yang boleh, Bendahara Tun Mutahir telah membuat keputusan untuk mengiktiraf beliau sebagai Pemerintah Johor yang sah di sisi adat-istiadat Melayu melalui Perjanjian Pahang-Johor 1861 kerana ayahanda beliau, Temenggung Tun Abdul Rahman telah dikurniakan negeri Johor sebagai kawasan pegangan beliau dan keluarga beliau telah memerintah negeri Johor sebagai wakil pemerintah Kesultanan Johor Lama. Tetapi pengiktirafan tersebut tidak menjadikan beliau sebagai Sultan Johor dan beliau kekal sebagai Temenggung Johor.
Beliau juga digelar "Pengasas Johor Moden" kerana pada zaman pemerintahan beliau, negeri Johor telah menjadi sebuah negeri yang bebas dan tidak lagi berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang telah menjadi Kesultanan Riau-Lingga pada ketika itu. Beliau juga telah menyediakan asas pemodenan negeri Johor di mana antaranya termasuk memperkenalkan sistem pemerintahan yang berbeza dengan sistem pemerintahan tradisional Melayu dan membina pusat pemerintahan di Iskandar Puteri (kemudian ditukar nama kepada Tanjung Puteri dan kini Johor Bahru). Usaha beliau untuk memodenkan negeri Johor kemudian diteruskan oleh anakanda beliau, Temenggung Tun Abu Bakar (kemudian bergelar Maharaja Abu Bakar dan selepas itu bergelar Sultan Abu Bakar).