Sultan Ali Iskandar Shah

Sultan Ali Iskandar Shah
Potret Sultan Ali Iskandar Shah yang dilukis oleh Eliphalet M. Brown Jr.
Sultan Johor
(Pemerintah Kesang)
Pemerintahan10 Mac 1855 – 20 Jun 1877
Didahului olehTiada (Kesang adalah sebahagian daripada Johor sebelum tahun 1855)
Diikuti olehMaharaja Abu Bakar ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim (Kesang kembali menjadi sebahagian daripada Johor pada tahun 1879)
"Sultan Johor"
(Pewaris Sultan Hussein Muhammad Shah)
Pemerintahan5 September 1835 – 10 Mac 1855
Didahului olehSultan Hussein Muhammad Shah (sebagai Sultan Johor)
Diikuti olehTemenggung Tun Daeng Ibrahim (sebagai Temenggung dan Pemerintah Johor)
KeputeraanTengku Ali ibni Sultan Hussein Muhammad Shah
1824 (1824)
Istana Kampong Gelam, Kampong Gelam, Singapura
Kemangkatan20 Jun 1877 (berumur 52–53)
Umbai, Jasin, Melaka, Negeri-Negeri Selat
Pemakaman20 Jun 1877
Makam Masjid Umbai, Jasin, Melaka
Pasangan3 Orang Isteri
Isteri
  • Tengku Ngah
  • Daing Siti
  • Cik Serimbuk binti Mokmin
Anakanda
  • Tengku Alam Shah
  • Tengku Mahmud
  • Tengku Mansur Putra
  • Tengku Puteh ‘Abdu’llah
  • Tengku Sulong
  • Tengku Sembuk
  • Tengku Cik Fatimah
  • Tengku Mariam
  • Tengku Sharifah
  • Tengku Busu Zainab
WangsaWangsa Bendahara
AyahandaSultan Hussein Muhammad Shah
BondaTengku Prabu binti Tengku Mahmud
AgamaSunni Islam

Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah (1824 – 20 Jun 1877) ialah Sultan Johor ke-18 dari tahun 1835 hingga tahun 1877. Baginda diangkat oleh keluarga dan pengikutnya untuk menggantikan ayahandanya, Sultan Hussein Muhammad Shah tetapi baginda hanya diiktiraf sebagai pewaris ayahandanya oleh British. Oleh sebab itu, baginda berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Sultan Johor daripada British dari tahun 1835 hingga tahun 1855 memandangkan British bertanggungjawab dalam melantik ayahandanya sebagai Sultan Johor.

Selepas rundingan dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dengan bantuan British sebagai orang tengah, baginda akhirnya diiktiraf secara rasmi sebagai "Sultan Johor" melalui Perjanjian Setia 1855 antara baginda dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Namun, sebagai balasan untuk pengiktirafan tersebut, baginda diberikan daerah Kesang untuk dijadikan sebagai kawasan peribadinya seperti yang diminta oleh baginda dalam rundingan tersebut manakala seluruh negeri Johor (kecuali daerah Kesang) kekal diperintah oleh Temenggung Tun Daeng Ibrahim seperti sebelumnya.

Sama seperti ayahandanya, baginda tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali dan anakandanya, Bendahara Tun Mutahir serta para pembesar Melayu yang lain kerana ayahandanya bukan Sultan Johor yang sah disebabkan oleh pertabalan ayahandanya yang membelakangkan adat-istiadat Melayu apabila ia dilakukan tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama. Bendahara Tun Ali dan Bendahara Tun Mutahir juga tidak mengiktiraf Perjanjian Setia 1855 kerana ia jelas melanggar adat-istiadat Melayu di mana tanah jajahan dalam Kesultanan Johor Lama termasuk negeri Johor adalah hak milik Sultan Johor yang sah di Lingga dan ia tidak boleh diambil oleh orang lain kecuali melalui cara kurnia. Dalam erti kata lain, negeri Johor masih dimiliki secara sah oleh Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah yang masih dianggap sebagai Sultan Johor-Pahang pada ketika itu.

Baginda pernah merancang untuk merampas negeri Johor daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dari tahun 1860 hingga tahun 1861 tetapi baginda gagal kerana baginda dihalang oleh British di Singapura. Baginda juga menyokong usaha Bendahara Tun Ahmad (kemudian Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah) untuk merampas negeri Pahang daripada kakandanya, Bendahara Tun Mutahir dalam Perang Saudara Pahang dengan harapan agar Bendahara Tun Ahmad akan membalas sokongannya dengan menabalkannya sebagai Sultan Johor-Pahang sekiranya beliau berjaya merampas negeri Pahang. Namun, baginda sekali lagi gagal kerana Bendahara Tun Ahmad tidak mahu merumitkan lagi masalah politik negeri Pahang selepas beliau berjaya mengalahkan kakandanya pada tahun 1863.