Syafiq Kyle

Syafiq Kyle
شفيق کائل
Syafiq pada 2016.
Kelahiran
Mohd Syafiq Shamim bin Abdul Razak

(1992-06-24) 24 Jun 1992
PendidikanDiploma Komunikasi dan Media
Pusat pendidikanUniversiti Teknologi MARA (UiTM)
Pekerjaan
  • Pelakon
  • model
  • penerbit
Tahun aktif2008–kini
PasanganMimi Lana (k. 2025)
Ibu bapa
  • Abdul Razak Husin (bapa)
  • Rohaya Sulaiman (ibu)
Saudara
Laman web rasmisyafiqkyle.com

Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, juga lebih dikenali sebagai Syafiq Kyle (Jawi: شفيق کائل; lahir 24 Jun 1992) ialah seorang pelakon lelaki Malaysia. Beliau dikenali dengan peranan lakonannya dalam filem dan televisyen, dan terkenal dengan kepelbagaian dan kebolehsuaiannya dalam melakonkan watak protagonis dan antagonis. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam kerjayanya, antaranya termasuk Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah MeleTOP Era dan Festival Filem Malaysia.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan memiliki kelulusan Komunikasi dan Media di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kerjaya Syafiq bermula pada 2011 apabila beliau menyertai pertandingan Hero Remaja 2011/2012 dan dinobatkan sebagai naib juara. Selepas itu, kerjaya lakonannya bermula dengan melakonkan watak kecil dalam beberapa drama dan filem. Beliau membintangi drama pertama lakonannya, Iparku Diva (2011), namun kejayaannya hadir apabila beliau mula dikenali menerusi watak Johan dalam drama bersiri Tanah Kubur (2012–2015), yang mana beliau telah berlakon sebanyak 9 musim. Sejak itu, Syafiq terus menemui kejayaan komersial menerusi beberapa siri drama televisyen terkenal seperti Kerana Terpaksa Aku Relakan (2014), Married Tapi Benci (2016), Mencintaimu Mr. Photographer (2017), Nur (2018–19), Suara Hati (2021), Seribu Nina (2022) dan One Cent Thief (2022–2025). Menerusi drama Nur lakonan bersama Amyra Rosli, beliau memenangi Anugerah Skrin 2018 bagi Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian dan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 bagi Aktor Pilihan, manakala untuk drama Tak Ada Cinta Sepertimu lakonan bersama Zahirah MacWilson, beliau memenangi Anugerah MeleTOP Era 2019 bagi Pelakon MeleTOP.

Sebagai pelakon filem, beliau membuat penampilan sulungnya di layar lebar menerusi filem Langsuir (2018) sebelum membintangi dalam beberapa filem seperti Pusaka (2019), Saka Nan Sepi (2020), Polis EVO 3 (2023), Sheriff: Narko Integriti (2024), The Experts (2024), Takluk: Lahad Datu (2024) dan Blood Brothers: Bara Naga (2025). Beliau ialah suami kepada pelakon Mimi Lana yang dikahwininya pada Februari 2025 dan bapa saudara kepada Nabil Aqil dan Imran Aqil.