Sri Vaishnavisme
Śri Vaiṣṇavisme ialah agama yang melahirkan falsafah Viśiṣṭādvaita Vedānta dan suatu sub-mazhab dalam Vaishnavisme yang berasal daripada Tamil Nadu, India. Menurut tradisi, agama ini telah diajar oleh Maha Vishnu kepada Devi Lakshmi. Devi kemudiannya, mengajar ilmu ini kepada Visvaksena. Ilmu ini kemudiannya diturunkan daripada guru ke guru bermula daripada Sathagopa (Nammaḷvar). Gerakan Bhakti yang dimulakan oleh golongan Alvar telah banyak memperkayakan kesusasteraan yang bersifat Bhakti dan cinta pada Tuhan dalam bahasa Tamil.
Dalam pengenalan kepada Sri Bhasya (ulasan Brahmasutra), Śri Rāmānujacharya menyusur-galur falsafah Viśiṣṭādvaita dalam Upanishad.
Śri Vaiṣṇavisme juga merupakan salah satu agama Bhāgavata (Bhagavatamata) yang berasaskan kepada kitab-kitab seperti Narayaniya dalam Mahabharata, Vishnu Purana, Srimad Bhagavata dan Pancharatra.
Tiga Āḷvār pertama Poygai, Pūdam dan Pey Āḷvār hidup pada zaman yang sama. Ketiga-tiga Āḷvār ini sering menghabiskan masa dengan bergelak ketawa, menangis, menyanyi dan menari. Oleh itu, masyarakat setempat menganggap mereka sebagai orang gila atau hantu. Karya Tiruvandadi dalam bahasa Tamil klasik yang mengandungi 300 ayat-ayat suci, dikatakan telah dihasilkan oleh mereka.
Gerakan Āḷvār lebih bersifat emosional dan mistikal. Para Āḷvār percaya bahawa nikmat duniawi adalah fana dan mengidamkan kebebasan melalui kesatuan dengan Maha Vishnu. Meskipun lagu-lagu suci mereka penuh dengan falsafah, mereka lebih banyak mengajar melalui teladan. Maka tugas meletakkan agama ini atas dasar falsafah yang kukuh menurut kitab-kitab suci dimulakan oleh golongan Ācārya selepas zaman Āḷvār.